KUANTAN -"Mereka beberapa kali minta izin untuk datang mandi manda di pantai ini sejak beberapa hari lalu dan saya menunaikan permintaan itu dengan membawa mereka ke sini petang semalam (Jumaat).
"Mungkin semalam mereka belum puas jadi datang lagi hari ini (Sabtu) namun tidak sangka tragedi ini boleh berlaku," kata Zaidi Mukhtar, 38, bapa kepada Fitrah Dhia Zahraa', 9, salah seorang mangsa lemas di Pantai Sungai Ular di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang lagi anaknya, Fitrah Zulaikha, 13, turut lemas namun berjaya diselamatkan.
Zaidi yang bertugas sebagai tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini berkata, walaupun jarak pantai itu dengan kediaman mereka di kuaters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular tidak berapa jauh, namun mereka jarang datang ke pantai itu untuk mandi.
"Memang saya keberatan untuk membenarkan mereka mandi di pantai ini, namun selepas meminta beberapa kali saya tunaikan juga hasrat anak-anak.
"Kebetulan hari ini saya bertugas jadi mereka datang terlebih dahulu bersama jiran dan isteri, Norni Mamat, 38, datang kemudian untuk memantau.
"Belum sempat isteri sampai, kejadian ini sudah berlaku dan dalam sekelip mata kami kehilangan seorang anak kesayangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia hanya tahu tentang kejadian selepas dihubungi isteri kira-kira jam 6 petang ketika masih di tempat kerja.
"Dia (isteri) telefon dalam keadaan menangis dan saya segera pulang kerana syak sesuatu telah berlaku dan ketika tiba di lokasi baru diberitahu salah seorang anak mati lemas.
"Saya memang terkejut dengan dugaan ini namun bersyukur jenazah anak kedua segera ditemui manakala kakaknya terselamat," katanya.
Zaidi sendiri langsung tidak menyangka permintaan anaknya itu menjadi petanda, Fitrah Dhia akan pergi buat selamanya.
"Insya-ALLAH, arwah akan dikebumikan di kampung isteri di Felda Chini Timur 1, Pekan selepas jenazahnya dituntut nanti," katanya.
Sementara itu, Mohd Ariffin Ismail, 55, bapa kepada Nor Najuwa, 13, yang turut lemas juga mengakui dia jarang membawa anak-anaknya mandi di pantai itu.
Dia yang bekerja sendiri dan isteri yang bertugas sebagai guru juga tinggal di kuaters guru SK Sungai Ular.
"Semalam mereka sudah datang dan kembali lagi petang ini bersama isteri.
"Kejadian berlaku amat cepat, mereka dibawa arus tidak lama selepas turun ke air," katanya.
Ariffin mengakui masih terperanjat namun reda apabila anaknya Nor Najuwa ditemui lemas manakala adiknya, Mohd Fazrul Hakimi masih hilang.
Dia turut berharap, anak keenamnya itu segera ditemui.
Menceritakan detik cemas dilalui, Fitrah Zulaikha berkata, dia bersama dua adiknya dan dua rakan mahu mandi manda di pantai itu.
Katanya, sejurus tiba, adiknya bersama dua rakan terus berlari masuk ke dalam air untuk mandi manakala dia menuruti dari belakang.
"Tiba-tiba saya nampak mereka dibawa arus dan lemas lalu saya terus berlari masuk ke dalam air untuk menyelamatkan mereka.
"Saya sempat capai tangan dua daripada mereka namun pegangan terlepas dan saya sendiri turut lemas.
"Saya agak panik namun sempat berenang sambil melambai tangan meminta tolong," katanya.
Katanya, mujur tindakannya itu berjaya disedari penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu dengan sebuah bot dan dia segera diselamatkan.
Dia yang masih terkejut dengan kejadian itu sedih dengan kehilangan adik dan seorang rakan dalam sekelip mata manakala nasib seorang lagi yang masih hilang belum diketahui.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua lemas, seorang hilang di Pantai Sungai Ular