Kejora terus bangunkan Wilayah Johor Tenggara

Iklan
Abdul Rahman (kanan) menerima logo sambutan Jubli Emas Kejora yang disampaikan A Jalil pada Majlis Prapelancaran Sambutan 50 tahun Kejora.

LEMBAGA Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) ditubuhkan pada 1 Jun 1972 dan diletakkan sebagai sebuah agensi kemajuan wilayah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Kejora menggalas amanah dengan matlamat menangani ketidakseimbangan wilayah iaitu penerokaan tanah, pembukaan kawasan baharu, mewujudkan perbandaran baharu dan menyediakan infrastruktur asas di kawasan tidak dapat diakses serta mempunyai kepadatan penduduk yang rendah.

Iklan
Iklan

Bertunjangkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk menjadikan ‘Luar Bandar Sejahtera’, Kejora terus mengorak langkah mencapai visinya menjadi peneraju kemajuan Wilayah Johor Tenggara pada 2030.

Kejora berjaya membangunkan masyarakat luar bandar di wilayah Johor Tenggara melalui pemerkasaan modal insan, prasarana dan sosio ekonomi mapan sejak penubuhannya 49 tahun lalu.

Iklan

Kewibawaan Kejora juga tidak dapat disangkal apabila menjadi salah satu agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) cemerlang prestasi pembangunannya.

Meniti usia 50 tahun pada tahun hadapan, Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas Kejora dilaksanakan dengan norma baharu secara maya yang akan mengetengahkan pelbagai program menarik.

Logo sambutan jubli emas Kejora diperkenalkan sewaktu Majlis Prapelancaran Sambutan 50 tahun Kejora.

Iklan

Kejora laksana pelbagai pembangunan

Kejayaan Kejora membangunkan kawasan Wilayah Kejora khususnya di Bandar Penawar, Kota Tinggi telah memberikan manfaat kepada penduduk sekitar.

Pengerusi Kejora, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, bermula dari hutan belukar di kawasan berkenaan, Kejora telah melakukan perubahan dengan melaksanakan banyak pembangunan seperti kemudahan infrastruktur dan fasiliti.

Menurut Che Zakaria, Kejora juga membangunkan masyarakat setempat menerusi pelbagai projek infrastruktur, program dan kursus yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi di wilayah Johor Tenggara.

Che Zakaria

"Walaupun diuji dengan penularan Covid- 19 pada tahun lepas, Kejora berjaya menyiapkan 31 projek fizikal melibatkan lapan projek jalan perhubungan desa, sembilan projek infrastruktur perparitan, tiga projek infrastruktur pelancongan desa dan 11 projek kemudahan awam dan sosial di kampung Kejora.

"Kejora juga turut melaksanakan projek bukan fizikal (program atau kursus) seperti kursus pemasaran digital, kursus penanaman durian dan kursus ternakan landak. Pelaksanaan kursus itu telah membantu golongan sasar memperoleh manfaat antaranya dalam menguruskan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas Kejora di Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama Pengurus Besar Kejora, A Jalil Md Arsad.

Menurut Che Zakaria, Kejora juga memberikan bantuan kepada golongan sasar dan anggotanya terutama mangsa banjir hujung tahun lalu.

"Bantuan seperti kit banjir dan baucar Covid-19 bertujuan meringankan beban,” katanya.

Menurut Che Zakaria, Kejora telah menerima sebanyak RM25 juta iaitu bajet mengurus pada tahun 2021 manakala penyaluran geran mengurus berjumlah RM6.25 juta untuk suku pertama pada tahun ini.

"Bagi bajet pembangunan tahun 2021 pula, Kejora menerima kelulusan sebanyak RM35.2 juta. KPLB seterusnya menyalurkan geran pembangunan bagi suku pertama dengan nilai RM8.8 juta.

"Dengan peruntukan yang diluluskan ini, kami berharap objektif Kejora untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di wilayah Johor Tenggara akan dapat dicapai,” katanya.

Terus cemerlang bangunkan masyarakat luar bandar

Kejora mengambil pelbagai pendekatan dan terus cemerlang bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kejora mengorak langkah dengan pembangunan dilaksanakan termasuk perumahan dan beberapa projek ekonomi.

Menurut Abdul Rahman, Kejora juga menyahut seruan meneroka bidang pelancongan di wilayah Kejora memandangkan Johor antara negeri yang sememangnya terkenal dengan lokasi yang menarik khususnya di wilayah Kejora.

Abdul Rahman

"Saya tertarik dengan projek berkelompok sarang burung walit oleh Kejora. Difahamkan projek yang dilaksanakan itu memberi pulangan lumayan memandangkan sarang burung walit bernilai seperti harga emas.

"Harganya mampu mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 sekilogram bergantung kepada harga pasaran dan kualiti,” katanya.

Justeru katanya, pendekatan diambil Kejora dalam projek sarang burung walit akan dicadangkan kepada agensi di bawah KPLB seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).