Yob diharap tidak cedera harungi aksi pra-musim

Iklan
Sesi latihan Perak FC bersama ketua jurulatih baharu, Chong Yee Fatt menjelang aksi persahabatan pra-musim berdepan Penang FC, malam ini. Foto: Suara Perak

KESEBELASAN Perak FC diharap tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius pada aksi persahabatan pra-musim berdepan Penang FC di Stadium Perak, malam ini.

Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt berkata, sebarang kecederaan yang berlaku akan menjejaskan sedikit persiapan skuad The Bos Gaurus itu menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 5 Mac ini.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya aksi berdepan skuad Harimau Kumbang itu juga mungkin menjadi satu-satunya aksi pra-musim bagi Perak FC berikutan sepak mula saingan Liga-M yang terlalu hampir.

"Perlawanan malam ini adalah perlawanan pertama untuk musim ini sejak tahun lalu dan setakat ini kesemua pemain dilaporkan cergas dan tidak mengalami kecederaan.

Iklan

"Cuma yang saya risaukan adalah dari segi kecergasan perlawanan masing-masing setelah agak lama tidak mengharungi perlawanan seperti ini.

"Bagaimanapun setakat ini, kesemua pemain dilaporkan cergas dan apa yang saya minta adalah supaya tidak berlaku kecederaan yang serius dalam kalangan pemain pada perlawanan kali ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Sementara itu Yee Fatt berharap kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu akan memanfaatkan sebaik mungkin aksi pra-musim berkenaan kerana dia sedang menilai sejauh mana persediaan pasukan itu menjelang sepak mula Liga-M.

Yee Fatt menegaskan pihaknya akan berikan keutamaan kepada beberapa aspek terutamanya dari segi kecergasan dan ketahanan pemain setelah mengharungi latihan berpusat sejak 15 Februari lalu.

"Perlawanan ini bukan setakat untuk kita akses dari segi fitness (kecergasan) pemain, tetapi juga kita mahu lihat dari beberapa aspek lain.

"Walaupun saya baru sahaja mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Perak FC, saya juga mahu melihat sejauh mana pemain dapat memahami percaturan taktikal pasukan.

"Seterusnya ini akan memudahkan saya untuk menurunkan kesebelasan utama pasukan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.