BANGKOK - THAILAND.Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand berkemungkinan mencadangkan parti Thai Raksa Chart dibubarkan kerana didakwa cuba menarik monarki ke dalam politik, kata laporan Bangkok Post hari ini.
Parti Thai Raksa Chart yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, menamakan Puteri Ubolratana Rajakanya yang juga kakak kepada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn sebagai calon perdana menteri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum negara itu yang dijadual berlangsung pada 24 Mac depan.
Pencalonan tersebut bagaimanapun ditentang Raja Maha Vajiralongkorn yang mengatakan keputusan kakaknya untuk menyertai pilihan raya umum negara itu adalah tidak wajar dan melanggar adat dan budaya Thailand.
Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menolak pencalonan Puteri Ubolratana Rajakanya, dengan berkata, setiap ahli keluarga diraja harus bersikap neutral dan tidak mencampuri urusan politik.
Menurut laporan awal Bangkok Post, Suruhanjaya Pilihan Raya mengundi untuk meminta mahkamah perlembagaan membubarkan parti berkenaan kerana melakukan perbuatan yang dianggap kejam terhadap sistem monarki perlembagaan Thailand.
Keputusan pihak suruhanjaya dibuat berdasarkan tiga bukti kukuh, termasuk pengumuman rasmi pada 8 Februari, surat parti terbabit menyatakan nama calon perdana menteri dan surat parti membenarkan Parlimen mempertimbangkan meluluskan calon perdana menteri mereka.
Sekiranya mahkamah bersetuju, parti Thai Raksa Chart akan dibubarkan dan ahli eksekutifnya akan dihalang daripada menyertai politik sama ada untuk tempoh 10 tahun atau seumur hidup.
Dalam pada itu, ketua parti Thai Raksa Chart, Preechaphol Pongpanit berkata partinya melakukan segalanya dengan niat yang baik.
"Raja dan monarki berada di atas kami, dan kami bersedia untuk disiasat," kata Preechaphol di ibu pejabat parti itu, hari ini.- Agensi/CNA
ARTIKEL BERKAITAN: Bahang pilihan raya Thailand bermula