Padah tawar suapan RM200

Iklan
Seorang buruh binaan warga Myanmar diiringi anggota SPRM Kedah ketika didakwa di Mahkamah Seksyen pada Ahad.

ALOR SETAR - Seorang buruh warga Myanmar dihukum penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Ahad atas tuduhan menawarkan suapan RM200.

Tertuduh, Abdul Karim Ismail, 47, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM200 kepada ejen kerajaan Malaysia, Konstabel Mohamad Syazril Mhd Hir Azahari yang bertugas di Balai Polis Kodiang sebagai dorongan tidak melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Tertuduh didakwa menawarkan suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan dilakukannya di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kampung Pering, mukim Pering, Kubang Pasu lebih kurang jam 6.15 petang pada 19 Februari lalu.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan ataupun RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman kerana sudah beberapa hari tidak bekerja dan meminta maaf atas kesalahan dilakukannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Fauzee Azizan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 kepada tertuduh ataupun enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda terbabit.