SEREMBAN - Meskipun kedua-duanya kurang sempurna, namun kelebihan yang ada dikongsi untuk saling membantu antara satu sama lain.
Demikianlah hubungan persahabatan antara Muhammad Ibraheem Abdullah, 36, orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan Teo Kar Foo, 53, pula OKU fizikal.
Menjadi rutin Kar Foo sejak dua tahun lalu untuk menemani Muhammad Ibraheem ke mana-mana selepas penglihatan teman baiknya itu menjadi kabur.
Muhammad Ibraheem berkata, dia mula mengenali Kar Foo sejak tujuh tahun lalu di tempat kerja.
"Tapi hanya dua tahun lalu kami menjadi sangat rapat kerana dia dengan rela hati membantu menemani saya ke mana-mana.
"Biasanya saya akan menunggang motosikal dan Kar Foo yang membonceng akan menunjuk arah jalan atau ada kalanya jika kaki dia tidak sakit, dia akan menunggang motosikal," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada Pengerusi Persatuan Cakna Taman Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Muhammad Ibraheem berkata, dia masih boleh melihat namun terhad kerana matanya mengalami masalah kabur yang teruk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya lebih 10 tahun lalu.
Oleh itu, katanya, dia tidak lagi berani untuk menunggang motosikal bersendirian dan terpaksa mengharapkan bantuan Kar Foo.
"Saya bersyukur kerana ada kawan seperti Kar Foo. Bagi saya dia satu dalam sejuta kerana dirinya sendiri pun kurang upaya tetapi sudi tolong saya.
"Walaupun berkawan baik, tapi selalu juga kami berselisih faham. Tapi kami akan cepat berbaik semula dan saya memang susah hati jika dia tiada," katanya.
Bercerita mengenai matanya, Muhammad Ibraheem berkata, penglihatannya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu dan dimaklumkan oleh doktor yang matanya hanya boleh bertahan dalam tempoh 10 tahun lagi.
"Saya ada pergi kedai cermin mata, tapi di minta ke hospital kerana masalah penglihatkan (kabur) saya sangat teruk.
"Bila saya pergi ke hospital doktor beritahu mata saya jadi kabur disebabkan keturunan dan lama kelamaan akan menjadikan saya terus tidak nampak," katanya yang tinggal di Taman Bidara di sini.
Keadaan itu menyebabkan dia tidak lagi dapat bekerja dan hanya mengharapkan isterinya yang bekerja di sebuah kedai makanan segera di Taman Forest Height di sini, tambahnya.
Selain itu katanya, dia turut menerima bantuan bulanan RM250 daripada Baitulmal yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya membesarkan enam orang anak berusia antara enam hingga 13 tahun.
Sementara itu, Kar Foo sudah menganggap Muhammad Ibraheem sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya sendiri dan tidak menyangka hubungan baik mereka yang bermula di tempat kerja berterusan sehingga kini.
"Mata Ibraheem tidak berapa nampak dan saya pula kaki tidak berapa kuat. Jadi kami saling membantu.
"Saya ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung. Jika mahu pergi rawatan susulan di hospital, Ibraheem yang akan teman saya.
"Berlainan agama bukan penghalang untuk kami berkawan baik dan saya juga rasa gembira dapat menumpang kasih anak-anak Ibraheem kerana saya tak pernah berkahwin," katanya.