PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel mengakui corak permainan The Blues menyebabkan pasukan lawan lebih banyak bertahan dan menyukarkan penyerang mereka, Timo Werner menjaringkan gol.
Bagaimanapun Tuchel berkata, dia tetap memilih Werner dalam setiap perlawanan biarpun pemain itu kurang menjaringkal gol.
"Mungkin ini salah kami kerana lebih banyak memegang bola berbanding lawan menyebabkan mereka lebih berhati-hati dan berada dalam keadaan bertahan.
"Kekuatan Werner ialah menyerang daripada ruang belakang barisan terakhir, jadi corak permainan Chelsea ketika ini yang mendominasi perlawanan telah menutup ruangnya untuk berlari daripada belakang pertahanan akhir lawan.
"Ia sama seperti perlawanan menentang Atletico Madrid sebelum ini dan saya tidak tahu apakah ada pasukan di luar sana yang dapat menutup ruang seperti mereka. Werner telah menunjukkan semua kemahirannya dan apa yang tinggal adalah kepercayaan terhadap dirinya.
"Kami banyak berbicang mengenai perkara ini dan ada idea supaya di bahagian pertahanan yang kental kita gunakan kepantasan Werner untuk melakukan pecutan,” katanya.
Chelsea menguasai 69 peratus bola dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak Tuchel mengambil alih pasukan tersebut daripada Frank Lampard.
Selain itu, Werner hanya menjaringkan hanya satu gol dalam lapan perlawanan sejak Tuchel tiba di Stamford Bridge.