BEIJING - China berjaya mengatasi cabaran serius yang dicetuskan pandemik Covid-19 dan menyelesaikan misi membasmi kemiskinan mengikut jadual ditetapkan.
Kejayaan itu sekali gus menyumbang kepada usaha pembasmian kemiskinan dan perlindungan hak asasi manusia di dunia.
Pengarah Bahagian Urusan Umum Jabatan Pembangunan Luar Bandar China, Su Guoxia berkata demikian ketika berucap dalam mesyuarat bertemakan"peranan pengurangan kemiskinan dalam mendorong dan melindungi hak asasi manusia" sempena sesi ke-46 Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Jumaat.
Su berkata, China negara membangun paling besar dengan populasinya berjumlah 1.4 bilion.
Jelasnya, kemiskinan mutlak berjaya diatasi sementara pendapatan dan taraf hidup rakyat dipertingkatkan.
Selain itu, hak pendidikan, perubatan dan kediaman setiap warga China juga terjamin, tambahnya.
Dalam mesyuarat itu, Naib Setiausaha Agung ASEAN, Kung Phoak berkata, tindakan berkesan oleh negara anggota dalam mengurangkan kemiskinan secara tidak langsung mempergiat perlindungan hak asasi manusia.
Beliau juga memuji pertukaran pengalaman dan kerjasama antara China dengan ASEAN dalam usaha mengurangkan kemiskinan.
Di samping itu, Laos, Mesir, dan Venezuela memuji kejayaan China dalam membasmi kemiskinan dan berharap China dapat berkongsi lebih banyak pengalaman dengan negara-negara membangun lain. - Bernama