PASIR MAS - Rekahan tanah di kawasan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi semakin serius apabilaturut membabitkan kawasan tapak pam air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak beberapa meter sahaja dari lokasi asal kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, kesan itu dilihat pada Sabtu.
Iklan
Iklan
"Bagaimanapun, urusan perniagaan berhampiran kawasan tersebut masih berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, lokasi tersebut berada dalam zon kuning dan pemantauan akan dilakukan secara berterusan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan polisi penempatan baharu untuk penduduk terlibat.
"Saya yakin dan percaya kerajaan negeri sentiasa komited menyelesaikan masalah yang berlaku ini secepat mungkin bagi mengelakkan kebimbangan penduduk," katanya.
Situasi terkini kebanyakan penduduk terlibat sudah berpindah dan menumpang di rumah saudara mereka buat sementara waktu dan ada juga yang sedang mencari rumah sewa untuk meneruskan kehidupan.