JOHOR BAHRU - Seramai empat rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia akibat pandemik Covid-19 selamat tiba di negara ini pada Ahad.
Md Roslan Kadir, 43; Faizal Jailani, 38; Mohd Faizul Hakimi, 21, yang berasal dari Melaka manakala Ahmad Radi Djonnaidi, 12, dari negeri ini tiba di Terminal Feri Stulang Laut di sini jam 12.30 tengah hari.
Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dari Melaka dan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor Bahru, Sumawan Md Som.
Nor Azman ketika ditemui pemberita mengakui lega kerana tiga lelaki dari Melaka itu selamat sampai dan semua urusan berjalan lancar.
"Keempat-empat mereka akan dikuarantin selama 10 hari di sebuah hotel di bandar raya ini dengan semua kos akan saya tanggung. Sebelum ini pihak kami berurusan dengan Konsulat Malaysia di Medan, Indonesia," katanya.
Md Roslan dan Faizal Jailani yang merupakan nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka hanyut hingga ke Pulau Rupat dekat Bengkalis, Indonesia pada 18 Februari lalu selepas perahu mereka karam.
Mohd Faizul pula dari Batu Berendam, Melaka yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu manakala Ahmad Radi terkandas di Tanjung Balai, Karimun, Indonesia sejak setahun lalu ketika mendaftar di sebuah sekolah pondok di sana pada Februari 2020.
Sementara itu, bapa Ahmad Radi iaitu Djonnaidi Tamam, 57, dan isteri, Ratna Dewi, 42, berasal dari Tanjung Balai, Indonesia terharu kerana urusan membawa anak sulungnya pulang berhasil dengan bantuan DMDI Johor dan Alumni 4B Negeri Johor.
Djonnaidi yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) manakala Ahmad Radi berstatus warganegara sebelum ini buntu memikirkan cara membawa semula anaknya pulang ke Kampung Pasir, Tampoi.
"Kami sekeluarga amat merindukan Ahmad Radi. Semasa terkandas di sana, anak saya tinggal bersama-sama neneknya di Kampung Panker, Tanjung Balai. Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada DMDI Johor," katanya.
Dalam pada itu, Sumawan berkata, DMDI Johor simpati dengan nasib Djonnaidi yang sudah tidak bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan menanggung kos pulang Ahmad Radi ke sini.
"Sebelum ini DMDI Johor bekerjasama dengan pihak Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia untuk urusan penghantaran pulang Ahmad Radi. kami bersyukur semua usaha dan penantian ini berakhir hari ini (Ahad)," katanya.