KUALA LUMPUR - Tempoh setahun ini semestinya masa paling mencabar dalam kerjaya politik, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengambil alih pucuk kepimpinan ketika negara menghadapi pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan dan memastikan tiada siapa terpinggir.
Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN), telah menyediakan pakej bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hingga RM300 bilion untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat semasa berdepan dengan situasi yang luar biasa ini termasuk memperoleh vaksin Covid-19.
Esok genap setahun Muhyiddin, 73, mengemudi kerajaan PN mentadbir Malaysia menghadapi segala cabaran serta kemungkinan susulan pandemik Covid-19 dan terus berusaha gigih memastikan segala yang direncana berjaya dilaksanakan.
"Insya-ALLAH pada 1 Mac ini genaplah setahun pentadbiran Perikatan Nasional yang saya pimpin sebagai perdana menteri sesuatu perkara yang saya tidak duga, tetapi ini semua takdir oleh ALLAH SWT,” kata beliau dalam wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan nombor satu negara di kediamannya di Bukit Damansara di sini.
Wawancara khas itu turut disiarkan menerusi siaran televisyen berita perdana di Bernama TV dan stesen televisyen.
Mengambil alih kepimpinan negara tatkala dunia dan negara berhadapan keadaan sukar berikutan wabak yang boleh membawa maut, Muhyiddin memegang jawatan perdana menteri dalam situasi luar biasa berikutan krisis politik, tekad menunaikan amanah dan menggalas tanggungjawab demi rakyat dan negara.
"Jadi, saya buat yang terbaik untuk negara. Pasal saya tahu, saya ada amanah, yang mesti saya tunaikan amanah... walaupun saya tidak dipilih dalam pilihan raya macam biasa, orang dapat mandat tapi (ekoran) krisis yang berlaku, saya dilantik (sebagai perdana menteri),” katanya.
Menyedari cabaran getir yang dihadapi, Muhyiddin mengambil tindakan segera dan pendekatan berbeza daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini, memikirkan apa yang harus dilakukan supaya nyawa rakyat Malaysia ancaman wabak Covid-19 yang amat berbahaya dan memastikan ada makanan, pekerjaan, pengurusan ekonomi, keselamatan dan ketenteraman awam serta perpaduan rakyat terus kekal.
Setahun menongkah arus dan bertungkus-lumus menguruskan wabak Covid-19 menerusi pendekatan masyarakat keseluruhan, Muhyiddin ternyata begitu tekad melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara meskipun berhadapan dengan pelbagai onak dan duri bagi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai negara maju menjelang 2030.
"... saya akan melakukan yang terbaik. Saya mahu meninggalkan legasi bukan untuk diri sendiri (tetapi juga) untuk negara sepanjang tempoh saya berkhidmat,” katanya sambil menambah bahawa itu adalah komitmen beliau.
"... saya boleh memberitahu rakyat Malaysia bahawa saya komited untuk memikul tanggungjawab saya sebagai perdana menteri, saya akan melakukan yang terbaik. Saya akan memerangi rasuah, saya tidak akan campur tangan dalam badan kehakiman atau mahkamah. Saya akan melakukan yang terbaik untuk negara, insya-ALLAH,” tekad Ahli Parlimen Pagoh itu.
Dalam nada berterus terang sepanjang wawancara itu, Muhyiddin menjelaskan langkah dan tindakan yang diambil kerajaan PN bagi menguruskan wabak Covid-19 menerusi pendekatan masyarakat keseluruhan yang mengkehendaki semua pihak berganding bahu bersama kerajaan menangani masalah yang ada.
Menerusi jawatankuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Tindakan Ekonomi dan jawatankuasa lain yang berkaitan, beliau berkata perbincangan dan mesyuarat dilakukan setiap hari bagi menguruskan isu Covid-19 dan kesannya kepada negara.
Melahirkan rasa syukur kerana pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik, beliau berkata, penjawat awam komited melaksanakan tanggungjawab, keselamatan dan ketenteraman negara terkawal manakala perpaduan rakyat tidak terjejas.
Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kekal bersatu dan bertekad untuk bersama-sama mendepani ancaman Covid-19.
Menelusuri setahun kepimpinan Muhyiddin, antara tindakan segera dan luar biasa yang dilakukan kerajaan PN adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac 2020 diikuti dengan beberapa peringkat PKP bagi menyeimbangkan kehidupan dan kelangsungan hidup rakyat dan setiap sektor yang terkesan dengan Covid-19.
Jangkitan Covid-19 mula melanda negara pada 25 Januari 2020 dengan gelombang pertama melibatkan kes-kes import manakala gelombang kedua pada akhir Februari 2020.
Kes jangkitan Covid-19 memasuki gelombang ketiga pada pertengahan September 2020 sehingga kini yang menyaksikan kes melonjak naik dari puluhan ke ribuan kes sehingga pernah mencatat 5,725 kes, angka tertinggi pada 29 Januari.
Dalam wawancara selama hampir sejam itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ditanya pelbagai soalan berhubung kerajaan dan tadbir urus negara, pengurusan Covid-19, pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat, penerimaan rakyat dan pencapaian kerajaan PN, Proklamasi Darurat, dasar luar Malaysia serta harapan beliau.
Turut diajukan adalah mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menunjukkan kesungguhan kerajaan PN dalam usahanya menjamin kesejahteraan rakyat.
Muhyiddin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin itu bersama-sama petugas barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham.
Berikut adalah antara sedutan soalan dan jawapan wawancara bersama Perdana Menteri.
Kini sudah setahun masalah Covid-19 melanda negara. Apakah harapan Tan Sri dan kerajaan untuk pandemik Covid-19 ini dapat kita ditangani dengan ketibaan vaksin?
MUHYIDDIN: Dalam tempoh setahun walaupun kita tidak bermula dengan pengalaman kerana tidak ada sejarah keadaan sebegini tetapi setahun mengajar kita kerajaan dan rakyat tentang apa yang harus kita lakukan untuk nak menangani masalah Covid-19 ini.
Alhamdulillah, walaupun kita didikenakan SOP (prosedur operasi standard), kita masih lagi gunakan SOP, kita kenakan kawalan-kawalan seperti PKP, PKPB, PKPD, PKPP dah banyak PKP dah.
Alhamdulillah dengan langkah-langkah sebegitu kita dapat mengawal, kalau kita bandingkan dengan negara-negara lain.
Alhamdulillah, sekarang ini selepas tempoh hampir setahun dalam keadaan yang agak berubah-ubah, ada dua perkara yang penting yang nak saya tegaskan dalam pengurusan Covid-19 ini.
Pertamanya, kita sudah mengumpul banyak data, maknanya angka-angka yang kita pungut ini, kes di mana, ada kluster dalam masyarakat kita dah tahu setiap hari dilaporkan kerana kita mengamalkan sikap yang agak terbuka, transparen, telus, tiada kita lindungi atau kita sorok data-data. Kita nak beritahu rakyat apa kedudukan sebenarnya.
Keduanya, pertimbangan kita berdasarkan sains maknanya kenapa kena buat begitu, mungkin umum ada yang faham tetapi yang ada yang tidak faham kenapa buat begitu, kenapa pakai ini?
Keputusan yang kita ambil sekarang ini selepas hampir setahun nampak sudah dilihat agak lebih berkesan dalam menangani dan menguruskan masalah ini dan dilihat penerimaan rakyat pada apa langkah yang kita ambil ini secara puratanya adalah baik.
Di samping itu, kita lihat juga dari segi data dan kes, apa sebab ia berlaku umpamanya tempat kerja ataupun ia tempat kediaman pekerja. Jadi kita tahu, jadi apabila kita buat keputusan ia berdasarkan data dan fakta sains. Dari satu sudut, rasa saya, kita sudah agak berjaya untuk menguruskan masalah Covid-19 dan melihat kesannya kepada ekonomi kita.
Semua terkesan sampai orang tidak boleh kerja, menganggur. Kalau saya nak kaitkan itu, langkah menguruskan ekonomi nak imbang antara Covid-19 dan ekonomi. Kalau tutup, ekonomi akan runtuh, buka Covid-19 pula melanda, macam mana nak imbang?
Alhamdulillah, kita bincang setiap hari. Walaupun menteri hadir, saya duduk tiap-tiap hari berpindah daripada mesyuarat MKN Covid-19 ke MKN darurat dan Majlis Tindakan Ekonomi untuk menguruskan masalah dan berbincang cara-cara nak membantu rakyat macam mana kita dah buat setakat ini.
Bagaimana Tan Sri melihat pencapaian kerajaan? Dari skala 1 hingga 5, di skala manakah Tan Sri berikan sebagai penilaian prestasi pentadbiran kerajaan PN dan apakah pencapaian yang paling boleh dibanggakan Tan Sri dalam memimpin pentadbiran kerajaan dalam tempoh setahun ini?
Saya tidak boleh menyatakan saya mencapai skala lima, nanti rakyat kata alah... yang penting, rakyat yang buat penilaian sama ada kerajaan ini sejak awal mentadbir negara sudah mengambil langkah-langkah yang perlu dan sesuai untuk menentukan supaya perkara utama telah diberikan perhatian, tidak diabaikan.
Keduanya ada kesan, hasil yang dikatakan agak positif untuk rakyat. Contoh, soal Covid-19 sekarang ini dah ada vaksin, saya orang pertama yang dah terima vaksin. Bukan soal masalah sahaja nak mengurus, apa penyelesaiannya mungkinkah vaksin ini akan menjadi jawapan kepada masalah kita?
Harapan saya begitu, itu bagi saya kejayaan besar, kita dah laksanakan, jangan tanya belanja, belanja untuk vaksin berbilion saya tidak pernah nak persoalkan. Kalau nak minta satu bilion lagi, saya bagi kerana ini nyawa rakyat, kerana rakyat kalau mati seorang bagi saya itu kerugian besar, saya nakkan rakyat hidup.
Di Malaysia, setiap nyawa adalah penting. Jadi sebab itu di mana kedudukan kita, bagi saya agak baik, kalau ada yang kata terbaik tak apalah, kalau ada kata abah terbaik, tidak apalah, itu rakyat yang buat penilaian tetapi yang penting apa kerajaan buat. Bagi saya tidak ada sesuatu yang kita kata tertinggal, tidak ada yang terpinggir. Itu penting supaya rakyat rasa walaupun dia seorang individu, meniaga di warung, kita ambil perhatian.
Tidak payah sebut pakej rangsangan yang sudah keluar hampir (RM)300 bilion, masa pentadbiran dahulu (RM)20 bilion. Saya tidak nak sebut siapalah, pentadbiran sekarang 300 bilion tetapi rakyat kata tak cukup lagi.
Bagi saya dalam tempoh setahun ini pencapaian kita agak memuaskan, pentadbiran berjalan dengan baik, kita tak lepas pandang apa-apa perkara utama termasuk soal pendidikan, sosial, kesihatan, ekonomi, keselamatan, perpaduan ini perkara penting dalam negara kita tak kita lepas pandang cuma penekanan bidang mana yang nak beri perhatian utama, ini yang kita sedang buat, itu yang kita sedang lakukan sekarang.
Setahun berlalu, apa pandangan Tan Sri terhadap penerimaan rakyat kepada semua inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ekoran pandemik Covid-19?
Kita buat survei hampir selalu kita menganalisis juga, analitik yang dibuat oleh pegawai-pegawai saya tentang apa reaksi rakyat pada setiap perkara yang berlaku. Saya fikir umumnya mereka berpuas hati umpanya dalam soal pengurusan Covid-19, itu satu perkara tetapi adalah bila Covid-19 melonjak sedikit dia rasa tidak suka. Covid-19 turun je dia suka tetapi saya fikir kalau ambil tempoh sepanjang sehingga tahun ini saya rasa rakyat akan rasa lebih selesa agak rasa agak lebih selamat. Itu penting pada saya.
Keduanya, kehidupan mereka. Adakah mereka ada makanan. Bagi saya itu penting. Jangan ada rakyat Malaysia kebulur tidak makan, itu saya rasa kalau berlaku, saya gagal. Sebab itu kita ada macam-macam bantuan secara langsung macam yang terkini bantuan dalam PERMAI, bakul makanan, bantuan wang tunai, bantuan nak meniaga, modal.
Sekarang, kita dah buka hampir semua ekonomi kita, kecuali satu dua sahaja. Jadi bagi saya, rakyat sewajarnya bersyukur bukan kerana kerajaan bertindak sebegini tetapi ini adalah usaha kita bersama-sama, saya rasa kalau saya seorang yang buat tidak boleh berjaya, pegawai kerajaan sahaja buat, tidak boleh berjaya tetapi dengan gandingan kerjasama kerajaan, rakyat, pegawai dan semua pihak kita boleh berjaya kerana ini ialah apa yang dipanggil pendekatan masyarakat keseluruhan, bukan sekadar kerajaan keseluruhan, maknanya semua pihak mesti berganding bahu menangani masalah yang kita hadapi dan saya berpendapat daripada survey yang dah kita buat berkali-kali umumkan, rakyat berpuas hati dengan langkah yang kerajaan sedang ambil.
Tan Sri mengatakan mengenai tidak ada sesiapa yang terpinggir. Dalam tempoh setahun, macam-macam kerajaan dah buat, macam-macam bantuan tetapi dalam tempoh setahun akan datang ada lagi yang tertinggal, ada lagi yang rasa terpinggir?
Itu betul, terkini saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, saya suruh bentang tentang apa hala tuju ke hadapan bantuan-bantuan kepada rakyat. Bila dibentangkan bahawa dalam masalah negara sekarang ini antara lain disebabkan Covid-19 kesan kepada rakyat amat besar.
Dulu kita panggil B40, yang orang ke bawah 40 peratus, saya jangka B40 sudah jadi B50. Mungkin M40 kekal M40 kerana T20 itu 10 peratus sudah turun jadi golongan berpendapatan pertengahan. Ini satu masalah, krisis yang saya kena akui bukan kerana perbuatan saya tetapi kerana masalah yang negara hadapi.
Itu harus jadi fokus dalam tempoh mendatang ini terutama dari sekarang ini semasa kita membantu yang lain untuk pulih, ekonomi pulih, bantulah kami untuk menyelesaikan masalah Covid-19 ini iaitu dengan melihat kepada beberapa kategori tertentu kumpulan masyarakat yang paling terjejas.
Bentuk bantuan dah bagi banyak berbilion masih terus diberi, sekarang sudah mula dibayar lebih awal tetapi dilihat tidak cukup membantu jadi strategi yang saya ambil sekarang ialah bagaimana nak menangani masalah kemiskinan.
Ada dua kategori - kemiskinan bandar, kemiskinan luar bandar. Pada zaman dulu, kemiskinan luar bandar lebih lebih ketara kerana orang di bandar dapat duit lebih sekarang ini kemiskinan di bandar lebih berat kesannya daripada kemiskinan di luar bandar kerana dia tidak dapat menampung sara hidup.
Hampir 52 peratus kemiskinan berlaku di bandar kerana sebahagian daripada mereka itu terlepas pandang kerana sistem data kita tidak kemas, orang miskin tidak ada masuk dalam rekod. Kadang orang itu dah dapat bantuan sekali, dapat dua, tiga ada orang tidak dapat. Ini saya dapati dalam sistem yang perlu kita perkemaskan.
Secara umum, yang lain bagaimana untuk pulihkan ekonomi semasa Covid-19sedang diuruskan. Macam sekarang, saya lihat sektor pelancongan hampir tidak boleh bergerak kerana sekatan rentas negeri. Ada sekali kita buka dahulu rentas negeri sekali atas lebuh raya penuh orang pergi Langkawi, ke mana-mana saya pun dah seronok.
Sekali lepas itu mencacak balik, kita tutup, sekarang masih tutup. Rentas daerah boleh, rentas negeri tidak boleh. Menteri Nancy jumpa saya tolong buka, memang saya prihatin kata nak buka tetapi KKM kata nanti dahulu, jadi kita nak tengok macam mana. Ini sektor yang paling teruk kalau ikut unjuran mungkin ia akan mengambil masa dua ke empat tahun baru dapat pulih.
Saudara tanya tadi apakah harapan, ini sebahagian, lain daripada itu kita nak menarik pelaburan dan kajian yang kita buat apa yang rakyat bimbang ialah sama ada dia bangun pagi, dia ada kerja lagi atau tidak. Kerana esok kalau dia datang ke pejabat majikan kata (saya minta maaf, anda terpaksa diberhentikan, kenapa? Kita tahu rugi.
Saya kena ambil kira ini bukan sahaja isu makro, soal negara pertumbuhan pembangunan. KDNK kita menguncup kita harap ini akan meningkat naik jadi macam mana cara nak buat itu, mesti ada pelaburan masuk, industri mesti bergerak balik, eksport mesti meningkat. Itu soal ekonomi kemudian sektor-sektor lain pembuatan, perkilangan, pembangunan, pembinaan, pertanian, semua sektor ini mesti berkembang tetapi semua terjejas.
Jadi, kita perlu meneliti perkara ini, cara kita menguruskannya. Jadi ia lebih daripada sekadar makro, ia adalah pengurusan mikro setiap sektor ekonomi. Ini yang kita sedang mula buat sekarang.
Kerajaan sekarang lebih banyak (mengambil pendekatan berpaksikan rakyat) people base, fokus kepada rakyat, mungkin apa yang Tan Sri cakap boleh jadi satu manifesto selain Wawasan Kemakmuran Bersama, apa lagi yang Tan Sri fikir boleh dibuat?
Itu yang jelaskan tadi, menjadi sebahagian fokus kita, kita nak lihat supaya mulai daripada sekarang maka semua sektor ekonomi mula rancak semula. Dia nak bergerak balik tetapi ada masalah dengan bank, contoh jika kita beralih kepada mikro (if we go to the micro) dan kita kena mintak bank tolong.
Moratorium, EPF semua ini kita dah boleh. Jadi kita nak tengok supaya sektor-sektor utama ekonomi kita gerakkan semula, bidang sosial, pendidikan memang antara sektor yang terjejas teruk, tutup sekolah dah mula buka.
Saya fikir agak penting supaya kita berikan perhatian dan tumpuan. Kementerian-kementerian sudah diarahkan untuk beri tumpuan lebih kepada perkara-perkara yang ada hubung kait dengan rakyat dan ekonomi dan perniagaan. Contohnya, kalau terlalu banyak birokrasi nak dapat kelulusan makan masa berbulan ataupun bertahun, ini akan menggagalkan usaha kita.
Saya dah arahkan Ketua Setiausaha Negara sebagai pengerusi jawatankuasa khas untuk melihat kalau ada birokrasi, karenah yang menyebabkan kelewatan. Kalau dia buat itu di zaman biasa, tidak boleh pakai di zaman sekarang, kena pinda ataupun kalau tidak perlu buang supaya proses itu dapat berjalan dengan cepat.
Ini langkah-langkah drastik yang kita sedang ambil bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi di minta juga di peringkat negeri bersama-sama membantu supaya isu masalah rakyat apa sahaja yang terbabit perlu kita selesaikan dan bantu dalam tempoh masa yang segera kerana rakyat tidak boleh menunggu sehari menunggu itu menyiksakan, jadi mereka tidak boleh tunggu lama kerana kalau tidak ada, esok dah jatuh miskin, susah meniaga terpaksa tutup nak buka balik bukan senang, semua ini saya faham.
Kita akan fokus itu walaupun dasar kita dah ada Dasar Kemakmuran Bersama supaya ada keseimbangan antara pengagihan kekayaan antara rakyat. Jadi saya bertindak sejauh itu (go to that extend) nak menentukan supaya kita boleh bangkit cepat dan mengikut unjurannya seharusnya penggal kedua atau masuk ke suku ketiga dan keempat ada peningkatan dari segi pertumbuhan KDNK negara. Insya-ALLAH.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir setahun, adakah Tan Sri merindui suasana bersemuka dengan rakyat?
Ya, saya nak balik ke kawasan saya hari tu di Pagoh, Muar pegawai saya kata boleh balik tetapi Tan Sri nak pergi mana? PKP Tan Sri. Ye tak ye juga. Jadi tak kan saya nak jumpa rakyat pakai maya sahaja. Rakyat kita maya pun pandai tetapi kesan agak tidak sebegitu kerana kita perlu berjumpa dengan mereka.
Sebab itu kita beri perhatian kepada nak cari jalan cepat supaya Covid-19 ini dapat kita atasi. Selepas ini mungkin seluruh negara sudah ada PKPP dan selepas itu mungkin tidak ada lagi PKP tetapi kita kena amalkan SOP ini sehingga diberitahu pakar-pakar epidemiologi dan KKM mengatakan negara kini bebas Covid-19 kita boleh melakukan perkara yang biasa kita lakukan, nak bersalam boleh, nak berpeluk-peluk boleh sebagai contoh atau macam biasa, itu yang kita harap-harapkan.
Sebab itu pelan yang kita sedang ambil sekarang ini amat penting sekali. Yang ini saya tidak hendak lihat ia berlaku selama-lamanya, jadi apabila keadaan bertambah baik, bukan saya sahaja, rakyat biasa pun nak balik kehidupan biasa, boleh makan, menjalankan perniagaan, bersukan, beriadah. Apa yang kita lakukan sebelum ini, tetapi ini tidak boleh sehingga kita dapat mengatasi masalah besar negara kita.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menampakkan kesungguhan Kerajaan PN untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam menempuh hari-hari sukar akibat pandemik ini. Ramai yang menunjukkan keyakinan terhadap vaksin ini. Apakah harapan Tan Sri terhadap kejayaan program ini?
Memang saya cukup mengharapkan agar kalau semua yang patut diberikan suntikan dapat menerima suntikan. Saya dah maklumkan sejak semalam (24 Februari) dan sebelum itu pun, tolonglah tampil ke depan, jangan bimbang, ragu dan takut daftar dalam MySejahtera supaya semua rakyat kita.
Kerajaan dah buat keputusan boleh diberikan bantuan suntikan Covid-19 secara percuma, selepas itu kita bagi juga kepada bukan warganegara yang ada dalam negara, juga diberikan percuma kerana kalau rakyat Malaysia sahaja dapat percuma, disuntik, dia tak suntik, dia duduk bekerja di sini, esok dia ada masalah, kita yang berjangkit. Jadi, sekarang itu adalah keputusannya.
Harapan saya sekarang ini semua pihak mesti bersama-sama membantu supaya kempen vaksinasi ini berhasil dan sasaran kita 80 peratus daripada rakyat Malaysia, hampir 100 peratus daripada mereka yang patut diberikan vaksin.
Tetapi untuk mencapai kelompok imuniti saya dimaklumkan ia mesti sekurang-kurangnya 60 peratus. Kalau ikut reaksi daripada awal, KKM punya survei awal, 67 peratus bersetuju. Selepas hari itu, vaksin sampai dan saya sudah suntik, ia naik kepada 80 peratus bermakna yang positif nakkan mendapat vaksin Covid-19. Ini satu trend yang agak menggalakkan.
Tetapi tempoh masa ini masih panjang sampai ke awal tahun depan, kalau semuanya ikut jadual dan vaksin yang kita beli sampai ikut masa yang ditentukan, makin ramai yang dapat suntikan, maka lebih baik bagi kita.
Sebab itu bagi saya, rencana pelaksanaan ini cukup mustahak. Ia adalah pelaksanaan terbesar pernah dilakukan bagi kempen vaksin pada satu-satu masa di negara ini dan membabitkan semua orang tanpa sebarang pengecualian.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang ada terlibat, KJ, Dr Adham, KKM, DG dan semuanya, logistik yang melibatkan hampir banyak pihak untuk membantu menggerakkan usaha kita dengan lebih 600 pusat (pemberian vaksin - PPV) dan 50 tempat pengedaran vaksin (Pusat Simpanan Vaksin - PSV), ini kerja besar tetapi setakat sekarang ini nampak agak baik.
Masih ada orang yang enggan mengambil vaksin, menyebarkan berita palsu di media sosial mengenai vaksin itu. Adakah Tan Sri melihat perkara ini sebagai satu halangan atau isu besar yang perlu ditangani?
Saya akui memang ada sedikit masalah sebegitu kerana dalam mana-mana masyarakat pun pasti ada kumpulan yang tidak bersetuju tetapi harapan saya yang tidak bersetuju itu tidak lah besar sangat dan terpengaruh dengan kempen antivaksin, macam-macam perkara yang dihebahkan mungkin menimbulkan ketakutan, kebimbangan akan mati untuk nak mengalih pandangan rakyat supaya jangan mereka keluar untuk mendapatkan suntikan ini tetapi yang penting adalah kesediaan rakyat itu sendiri.
Apa yang kerajaan bantu buat sekarang ini adalah untuk menolong mereka, jangan tolak rezeki.
Macam saya, saya rasa lebih yakin. Bukanlah saya kata saya terselamat tetapi setidaknya saya tahu dalam badan saya ini sudah ada antibodi nanti kalau ada elemen virus nak masuk, dia akan lawan. Tetapi kalau tidak ada itu, dia nak lawan macam mana, terasalah sakit.
Sebab itu bagi saya ini penting dan saya percaya kempen ini akan dapat sambutan kerana kita gerakkan semua anggota masyarakat, NGO, ketua-ketua masyarakat, ketua kampung, rukun tetangga, semuanya supaya mereka terbabit menghebahkan berita ini dan minta supaya mereka daftarkan nama mereka segera dalam aplikasi MySejahtera.
Sebagai perdana menteri, memimpin negara dengan 30 juta rakyat, dalam keadaan normalpun bukan sesuatu yang mudah tetapi melakukannya semasa pandemik global, dalam ketidaktentuan politik, dan untuk Tan Sri secara peribadi, apa yang memotivasikan Tan Sri untuk menerima cabaran ini dan mendorong Tan Sri meneruskannya setiap hari?
Alhamdulillah, semuanya kerana kuasa ALLAH. Saya pun tak pernah bermimpi, tapi bila dah dilantik, saya tahu ini adalah satu amanah, yang juga tanggungjawab yang besar, jawatan paling penting dalam negara, jadi saya sedar, Bila saya diamanah, saya sebagai seorang Islam, saya tahu saya tak boleh abaikan, pasal nanti saya kan ditanya di akhirat nanti apa yang kamu buat kepada rakyat kamu apabila kamu menjadi PM, macam mana nak jawab?
Jadi, saya melakukan apa yang saya fikir terbaik untuk negara, pasal saya tahu saya ada amanah, amanah rakyat yang dibagi pada saya, walaupun saya tidak dipilih dalam pilihan raya macam biasa, orang dapat mandat tetapi krisis yang telah berlaku, saya dilantik.
Jadi bagi saya yang menjadi pendorong pada saya adalah rasa tanggungjawab dan amanah yang mesti saya tunaikan... tidak boleh abaikan ataupun berehat di rumah seronok jadi perdana menteri. Saya boleh katakan dari hari pertama saya di sini sebagai perdana menteri, saya hanya fikirkan apa yang boleh saya buat untuk menyelamatkan negara ini.
Jadi sebab itu motivasi bukan kerana apa, kerana ini mesti kita buat, tidak boleh gagal (you can’t fail), kerja saya gagal, negara gagal. Kalau negara gagal, rakyat akan menderita bukan? Disebabkan itu, ia adalah sesuatu yang amat berat, mungkin ada yang cemburu dan ingin menjadi perdana menteri tapi saya... bukan saya tak rasa bersyukur, tapi masya-Allah ini beban, amanah.
Setiap kali saya diuji, saya lalui, berdoa selalu, Allah permudahkan urusan saya, setiap kali sembahyang, mohon pada Allah, pasal saya yakin, saya berpegang pada itu, segala-galanyanya kerja Allah izinkan, Insya-ALLAH kita akan berjaya. Inilah pegangan agama saya, dalam Islam dan ini yang saya sedang lakukan sekarang.
Soalan terakhir, apakah harapan Tan Sri untuk rakyat dan Malaysia?
Harapan saya bahawa Malaysia akan kembali seperti dulu, malahan lebih daripada itu menjadi sebuah negara yang cemerlang, yang gemilang yang mencatatkan pembangunan kemajuan yang lebih hebat. Sebab tu saya laksanakan pelan (roll out) MyDigital, saya laksanakan (roll out) macam-macam rancangan (plan) yang lain kerana bagi saya kalau kita dah dapat atasi masalah ini, maka kita dah selesai satu bab, kita kena lihat ke depan.
Apa yang penting di mana kedudukan Malaysia dalam tempoh 10, 20 tahun ke depan. Kalau banding negara lain, sepatutnya kita dah ke depan, tapi malangnya Malaysia masih di belakang. Ini saya akui, bukan tidak menerima itu kesalahan kita, tapi itu keadaan kita.
Kita lihat contoh negara China, Jepun, Korea. Satu ketika dulu, Korea datang belajar Malaysia macam mana nak maju, tapi mereka dah ke depan, kita masih di belakang.
Pendapatan per kapita kita kalau dibanding dengan negara lain masih kecil, kenapa begitu? Kemiskinan di negara kita masih ada. Jadi bagi saya, kesemua ini adalah cabaran yang besar. Ini bukan kerja main-main, sebab tu saya komited apabila diberikan tugas ini. Saya akan melakukan yang terbaik dan anda boleh lihat rekod saya, bukan saya nak membangga diri, di mana saya dicampak, di kementerian mana, saya akan melakukan yang terbaik.
Saya mahu meninggalkan legasi bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk negara semasa saya berkhidmat.
Jadi sebab itu bagi saya yang penting, marilah kita bersama-sama, mesti ada kerjasama rakyat, semangat kekuatan perpaduan penting dan komitmen yang bersungguh-sungguh secara total dan saya yakin kita boleh berjaya.
Malaysia akan menjadi antara negara paling membangun, macam kita kata kita nak jadi negara maju 2020 dah tinggal dah 2020, masih tak capai lagi. Sekarang Dasar Kemakmuran Bersama 2030, tengok 10 tahun macam mana jadi.
Jadi, itu adalah komitmen saya dan saya boleh beritahu rakyat Malaysia bahawa saya komited dalam memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri. Saya akan melakukan yang terbaik, saya akan memerangi rasuah, saya tidak akan campur tangan dalam badan kehakiman dan mahkamah.
Saya akan melakukan yang terbaik untuk negara. Insya-ALLAH. - Bernama