GELI dan menjijikkan! Itu yang dapat dibayangkan apabila melihat laporan khas bertajuk ‘Flat sampah terbang’ yang didedahkan oleh rakan Merak Jalanan minggu lalu.
Merak Jalanan bukan nak menghina tetapi kalau melihat daripada video sudah meloyakan, apalagi kalau tinggal di situ. Tak sangka dalam negara menuju kelas pertama masih ada rakyat yang mentaliti kelas ketiga.
Merak Jalanan nak tegur semua penghuni flat di seluruh negara. Walaupun bukan semua yang ‘berperangai hodoh’ begitu tetapi sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk menyebabkan kawasan persekitaran perumahan menjadi kotor.
Sudahlah kotor, berbau busuk pula! Ubahlah sikap. Biar rumah flat tapi jangan jadi manusia pengotor.
Jangan salahkan orang lain jika kawasan perumahan berlonggok dengan sampah tetapi salahkan sikap sendiri.
Mana tidaknya, pelbagai jenis sampah seperti plastik, sisa makanan, lampin pakai buang, perabot, puntung rokok dan barangan elektrik dibuang dari tingkat atas. Ini bukan isu baharu.
Perbuatan tersebut bukan sahaja mengotorkan kawasan persekitaran bahkan boleh membahayakan nyawa orang lain yang berada di bawah.
Merak Jalanan nak tanya, adakah masalah penduduk atau penyelenggaraan? Biar Merak Jalanan tolong jawabkan, ini masalah penduduk! Merak Jalanan pernah lihat satu kawasan flat yang agak tua tetapi persekitarannya bersih.
Selagi penduduk bersikap acuh tak acuh dengan kebersihan, tidak ada semangat untuk melakukan gotong-royong membersihkan kawasan, selagi itulah kawasan perumahan akan kotor.
Ubahlah sikap pengotor dan pemalas. Persekitaran yang kotor boleh menyebabkan penghuni tidak sihat dan peningkatan wabak penyakit.
Jawatankuasa penduduk pula kena gerakkan aktiviti, janganlah nak harapkan kerajaan saja. Gotong-royong perlu berterusan, bukan sekadar bermusim!