SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan beliau masih insan yang sama seperti dulu meskipun kini bergelar menteri.
Menurutnya, mungkin kini hidupnya kian berubah namun beliau tetap ‘Mujahid yang sama’.
Iklan
Iklan
"Mujahid hari ini adalah Mujahid yang sama. Dulu pembangkang, aktivis, tidur di tepi jalan, tidur lokap. Dulu nampak polis takut tapi sekarang polis mengiringi perjalanan saya.
"Tapi pada saya itu kitaran hidup. Saya tetap Mujahid yang orang kenali, tetap Mujahid yang sama, jangan risau,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Minda Sinar Harian di Dewan Karangkraf, di sini, semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah punca beliau dilihat lebih toleran dalam pelbagai perkara, Ahli Parlimen Parit Buntar itu menjelaskan ia adalah berpandukan didikan bapanya, Tuan Guru Yusof Rawa.
"Kalau ditanya mengapa saya jadi begini, itulah didikan ayah saya. Beliau ajar, saya kena buta warna kerana kaum, bangsa adalah ciptaan ALLAH, perlu hormat bangsa lain,” ujarnya.