SHAH ALAM - Kebanyakan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) membuat permohonan i-Sinar bagi melangsaikan tunggakan hutang mereka.
Penghantar makanan, Mohd Fauzie Toriman, 37, berkata, dia membuat pengeluaran wang sebanyak RM6,000 bagi melunaskan tunggakan hutang bank di samping menggunakan bakinya untuk keperluan lain.
Menurutnya, dia juga memilih untuk tidak mengeluarkan wang simpanan berkenaan dengan kadar maksimum walaupun layak untuk berbuat demikian.
"Saya hanya keluarkan jumlah yang benar-benar diperlukan untuk menyelesaikan tunggakan hutang bank.
"Alhamdulillah, saya kini tidak lagi mempunyai komitmen bulanan untuk bayaran pinjaman bank,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Sementara itu, seorang pegawai eksekutif, Mohd Norariffin Tajuddin, 39, mengakui berasa sangat bersyukur apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran pengeluaran i-Sinar memandangkan pihaknya turut terjejas apabila berdepan pengurangan gaji dan pendapatan sebelum ini.
Menurutnya, dia telah menerima bayaran pengeluaran berkenaan sebelum ini dan menggunakannya untuk melunaskan hutang bank serta membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.
"Pengeluaran ini banyak membantu saya walaupun sebelum ini terpaksa berdepan pengurangan gaji oleh majikan,” katanya.
Bagi kerani, Aida Suhaina Abdul Shukor, 37, selain menggunakan wang i-Sinar untuk melunaskan tunggakan pinjaman bank, dia turut menyimpan baki wang berkenaan untuk simpanan bagi kegunaan pada waktu kecemasan.
Dengan pengeluaran wang itu, katanya, ia amat membantu mengurangkan bebanan banyak pihak khususnya ketika pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
"Pengeluaran ini membantu kami menyelesaikan banyak perkara di samping membolehkan saya membuat simpanan kecemasan,” katanya.
Sementara itu, pengeluaran i-Sinar daripada Akaun 1 KWSP disifatkan sebagai talian hayat kepada pencarum yang berdepan pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19 termasuk punca pendapatan semakin berkurangan.
Mohammad Faizal Hashim, 35, berkata, dia bergantung kepada pendapatan sebagai pemandu e-hailing di sekitar Johor Bahru dan menjadi wartawan sambilan di sebuah akhbar tempatan sejak setahun lalu.
Namun, katanya, ketika Covid-19 yang menyaksikan PKP dilaksanakan sehingga 4 Mac di Johor, menyebabkan pendapatannya sebagai pemandu e-hailing terjejas.
"Hidup di bandar raya Johor Bahru cukup mencabar dengan taraf hidup yang tinggi di sini. Kini saya bergantung dengan pendapatan sebagai wartawan sambilan.
"Wang daripada pengeluaran i- Sinar sangat membantu untuk saya teruskan kehidupan dan digunakannya secara berhemah. Selain itu, saya juga akan simpan sedikit wang tersebut ke dalam Tabung Haji untuk masa depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Ernalisa Othman, 30, menyifatkan pengeluaran i-Sinar sedikit sebanyak memberi nafas kepada dirinya yang bergantung punca rezeki sebagai wartawan sambilan.
"Peluang untuk mengeluarkan i-Sinar yang diberikan kerajaan sangat membantu rakyat ketika musim Covid-19.
"Memandangkan status kerja sambilan, wang tersebut membantu untuk membeli keperluan harian.
"Taraf hidup yang tinggi di Johor Bahru juga memerlukan saya sentiasa berjimat cermat.
"Saya juga telah mengasingkan wang yang diterima daripada pengeluaran i- Sinar untuk simpanan bagi tujuan kecemasan,” katanya.