PASIR MAS - Dua lelaki tempatan gagal menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Chenerai, Alor Pasir, di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, anggota polis yang mengejar kedua-dua lelaki itu terpaksa bergelut sebelum dapat memberkas tekong darat berusia 20 dan 40 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, kedua-dua mereka yang positif dadah itu akhirnya berjaya dicekup polis sekitar jam 1 petang.
"Turut ditahan ialah seorang PATI wanita warga Thailand berusia 26 tahun.
"Kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota polis yang sedang melakukan sekatan jalan raya bergerak di Jalan Panglima Raja, Lemal telah ternampak sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota telah meminta pemandu untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan tetapi tidak diendahkan dan terus memecut menghala ke arah Kelar," katanya.
Menurutnya, anggota polis kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Kampung Chenerai, Alor Pasir.
Beliau berkata, sejurus kenderaan itu berhenti, dua suspek telah keluar dan cuba melarikan diri.
Mohamad Roy berkata, ketangkasan dan ketenangan anggota polis berjaya menahan kedua-dua suspek meskipun berlaku pergelutan.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan yang dinaiki suspek telah menemui seorang PATI wanita di bahagian tempat duduk belakang.
"Saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis meth, sementara wanita itu negatif," katanya.