PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Keadaan ekonomi di negara ini semakin bertambah baik.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin memberitahu jika dibandingkan pada April tahun lalu, ekonomi menguncup 28.7 peratus tetapi pada Disember penguncupan hanya 1.7 peratus.
"Kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.8 peratus pada Disember tahun lalu.
"Langkah kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada bulan Mac tahun lalu telah menyumbang kepada kedudukan ekonomi semasa yang lebih baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Tambahnya, kebenaran untuk aktiviti ekonomi beroperasi semula memberi peluang kepada rakyat untuk kembali menjana pendapatan.
Muhyiddin berkata, apabila angka pandemik Covid-19 meningkat semula pada Januari lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk memastikan pelaksanaan PKP kali kedua adalah perlu tetapi berdasarkan data dan sains dalam menangani virus telah dikaji sepanjang Covid-19 melanda negara.
"Dalam tempoh PKP kali kedua, kerajaan telah berusaha mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi.
"Justeru, kerajaan membuat keputusan memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi berbanding PKP kali pertama dengan syarat pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.
Menurutnya, SOP bagi semua aktiviti ekonomi juga telah ditambah baik dengan penglibatan aktif persatuan dan dewan-dewan perniagaan.