'Tiada satu pun ordinan darurat untuk kekalkan PM'

Iklan
Muhyiddin menyampaikan Amanat Perdana sempena Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Tidak ada satu pun daripada ordinan darurat yang telah dimasyhurkan bertujuan membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar dan memahami maksud demokrasi.

Iklan
Iklan

"Darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos ini. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya semasa berucap semasa Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Tambahnya, sejak darurat berkuatkuasa, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Iklan

Beliau berkata, kesemua ordinan itu bertujuan membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan selain menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19 di negara kita.

"Melalui proklamasi darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasaannya mengambil masa yang lama,” jelasnya.

Iklan

Muhyiddin berkata, di samping itu, Seri Paduka Baginda juga telah melantik sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.

"Saya percaya Jawatankuasa Khas Bebas ini akan meneliti keadaan pandemik Covid-19 di negara kita dengan sebaiknya.

"Jika jawatankuasa ini berpuas hati masalah Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan,” katanya.