Israel sahkan akan vaksinasi pekerja Palestin

Iklan
Gambar fail menunjukkan seorang pekerja kesihatan Palestin Palestinian menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat. - Foto AFP

BAITULMUQADDIS - Israel pada Ahad mengesahkan ia akan melakukan suntikan vaksin bagi menghalang penularan pandemik Covid-19 terhadap para pekerja Palestin di Tebing Barat yang mempunyai permit kerja.

Menurut AFP, suntikan itu juga akan dilakukan terhadap pekerja Palestin yang mempunyai permit kerja dan bekerja di negara Yahudi tersebut.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyatakan ia berjaya mencapai satu persetujuan dengan Israel bahawa rejim Zionis itu akan menyuntik vaksin Covid-19 terhadap 100,000 pekerja Palestin.

Sebuah unit tentera Yahudi yang bertanggungjawab di wilayah-wilayah Palestin diduduki rejim Zionis iaitu COGAT berkata dalam satu kenyataan bahawa program vaksinasi tersebut telah diluluskan oleh pemimpin politik Israel.

Iklan

Ia adalah sebagai usaha untuk mengekalkan kesihatan awam dan bagi membolehkan ekonomi Israel berfungsi semula, kata kenyataan berkenaan.

Vaksinasi itu akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari.

Iklan

Ia akan dilakukan di antara lintasan sempadan antara Israel dan Tebing Barat termasuk di zon-zon industri yang mempunyai ramai penduduk Palestin bekerja serta mempunyai akses dengan penempatan haram Yahudi.

Menurut COGAT, para pekerja Palestin itu akan menerima vaksin Moderna untuk membendung penularan Covid-19.

Terdapat kira-kira 475,000 peneroka haram Yahudi yang tinggal di Tebing Barat.

Wilayah itu didiami oleh kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin.

Sebelum ini kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kemarahan kerana penduduk Yahudi di Tebing Barat diberikan vaksin Covid-19 manakala penduduk Palestin di wilayah tersebut tidak diberikan suntikan vaksin. - Agensi