SHAH ALAM - Rangkaian kedai serbaneka 24 jam, KK Super Mart telah berkerjasama dengan Masjid Putra melalui inisiatif Kaunter ‘Bait Al-Mahabbah’ (Rumah Kasih) untuk membantu penduduk yang terjejas di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, Rumah Kasih telah beroperasi sejak 11 Februari 2021 dan melalui kerjasama itu, KK Super Mart menyumbangkan barangan keperluan asas kepada golongan asnaf.
Menurutnya, langkah yang dilakukan oleh pihaknya itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu komuniti.
"Kami turut menyalurkan sumbangan pelitup muka, cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan minuman kepada petugas barisan hadapan seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan,” katanya dalam satau kenyataan pada Isnin.
Chai berkata, menerusi kolaboratif ini, KK Super Mart dapat menyalurkan sumbangan ke saluran yang lebih tepat agar mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tidak tercicir dan terabai.
"Melalui ‘Bait Al-Mahabbah’ Masjid Putra, barangan keperluan hasil daripada sumbangan KK Super Mart dan barang keperluan peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diagihkan kepada asnaf secara berjadual oleh pihak masjid.
"Bagi memastikan usaha ini berjalan dengan sempurna, KK Super Mart akan membuat penambahan barang keperluan secara bulanan. Seterusnya pihak Masjid Putra akan membuat agihan kepada penerima mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga turut melakukan perkara sama di beberapa masjid lain sekitar ibu negara.
Sebelum ini, majlis perasmian Kaunter ‘Bait Al-Mahabbah’ telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Jumaat yang turut dihadiri PemangkuTimbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jakim, Dr. Nordin Ahmad dan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim Al-Hafiz.