Pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale mengakui gembira sejak kembali ke kelab lamanya itu selepas membantu Spurs menewaskan Burnley 4-0 pada Ahad.
Katanya, dakwaan bahawa dia kecewa dengan kekurangan waktu bermain pada musim ini sama sekali tidak benar dan meletakkan kepentingan kelab berbanding kehendak peribadi.
"Perkara paling penting ialah kita berada dalam perjalanan yang hebat dan penting untuk bagi semua kembali kepada kemenangan.
"Ia bukan semata-mata soal menjaringkan gol tetapi permainan kami sepanjang perlawanan dan membantu pasukan. Saya gembira dengan gol dan bantuan pada perlawanan ini.
"Saya gembira sepanjang musim ini di sini. Dalam bilik persalinan saya selesa dan bergembira bersama pemain lain. Saya kembali yakin di atas padang.
"Bagi saya, tidak perlu ada rasa kecewa jika digantikan dengan pemain lain. Ada banyak pemain akan masuk dan penting untuk terus membina minit dalam setiap perlawanan,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan gol seawal minit kedua sebelum Harry Kane dan Lucas Moura meletakkan Spurs selesa 3-0 pada separuh masa pertama.
Gol kedua Bale hadir pada minit ke 55 selepas menerima umpanan dari Son Heung-Min, sekali gus memastikan pasukan itu terus mendaki carta liga.
Spurs akan menjadi tuan rumah kepada Fulham pada Khamis ini dan Crystal Palace pada Ahad sebelum memberikan tumpuan pada perlawana 16 pasukan Liga Europa menentang Dinamo Zagreb.