KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan yang mengatakan 200 kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memintas pasukan barisan hadapan berhubung pemberian suntikan vaksin Covid-19 seperti yang ditularkan di media sosial.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat melibatkan penularan dakwaan tersebut dan menganggap ia cuma sekadar ‘cakap kosong’.
"Saya tidak dapat maklumat lagi mengenai perkara ini dan mungkin perbualan bebas sahaja. Kita tiada sumber yang tepat, tapi kita telah bersedia dan merancang dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri.
"Esok tengoklah siapa yang lompat atau tidak lompat. Itu tidak betul (dakwaan pintas). Pastinya, semua akan dapat (vaksin),” katanya sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim, pada Isnin.
Sebelum itu, Ahmad menyaksikan Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tular di laman sosial mengenai maklumat yang mengatakan kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri didakwa diberikan ‘laluan khas’ untuk menerima vaksin pada Selasa ini.
Penularan tersebut menggusarkan banyak pihak dan didakwa memperlihatkan sebagai satu tindakan yang berkepentingan sedangkan lebih ramai pasukan barisan hadapan berdepan risiko lebih tinggi menunggu untuk menerima vaksin itu.
Ahmad akan menjadi individu pertama di Kelantan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada pelancaran fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri, pada Selasa ini di dewan utama Kompleks Kota Darul Naim, di sini.