ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan bahawa tiada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 22 Februari lalu positif Covid-19.
Pengarah JKN Kedah, Dr Fikri Ujang berkata, bagaimanapun pihaknya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melakukan pemantauan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ke atas calon-calon.
Iklan
Iklan
Katanya, pelajar akan disaring terlebih dahulu dan sekiranya bergejala mereka akan diasingkan.
"Pihak kesihatan juga akan datang membuat pemeriksaan sama ada ia adalah gejala Covid-19 ataupun sebaliknya. Sekiranya tidak pelajar ini akan dibenarkan untuk mengambil peperiksaan tetapi di tempat yang berasingan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Menurutnya, bagi kes pelajar yang positif Covid-19 mereka tidak dibenarkan mengambil pemeriksaan dan akan diberikan tarikh yang lain oleh KPM.
"Saya juga berharap ibu bapa dan tenaga pengajar dapat memainkan peranan penting bagi memastikan keseluruhan pelajar yang memulakan sesi persekolahan dapat mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan.
"Ia termasuk peringatan supaya anak mereka dapat mengamalkan norma baharu di sekolah seperti amalan penjarakan fizikal selain kerap mencuci tangan,"katanya.