HYDERABAD - Seekor ayam jantan diikat pisau pada kakinya bagi digunakan dalam satu pertandingan sabung ayam secara haram Selatan India yang cuba melepaskan diri telah mengakibatkan kematian tuannya.
Menerusi laporan AFP, ayam jantan yang memiliki pisau pada kakinya itu dikatakan sedang bersedia untuk bertarung sebelum cuba melarikan diri dan menyebabkan pisau tersebut terkena pada bahagian paha lelaki berkenaan.
Mangsa Thangulla Satish, 45, meninggal dunia kerana kehilangan darah sebelum sempat tiba di hospital Karimnagar, daerah Telangana, kata pegawai polis B Jeevan kepada AFP.
Katanya, lelaki berkenaan antara 16 individu yang menganjurkan pertandingan sabung ayam di kampung Lothunur.
Ayam kemudian 'ditahan' sementara di balai polis dan dihantar ke ladang penternakan berhampiran.
Semua individu yang terbabit dalam acara haram itu bakal berdepan tuduhan membunuh, perjudian dan menganjurkan pertandingan sabung ayam.
Pertandingan seumpama itu adalah dilarang namun masyarakat masih menganjurkan di kawasan luar bandar seperti Telangana, Andhra Pradesh, Karnataka dan Odisha.
Ayam jantan yang dibiak khas itu akan dilengkapi pisau atau bilah sepanjang 7.5 sentimeter pada kaki mereka.
Ribuan ayam jantan mati setiap tahun akibat pertaruhan itu, namun ia masih menarik minat penggemar acara berkenaan walaupun banyak usaha dilakukan aktivis haiwan untuk mengekang acara seumpama itu terus dianjurkan.
Pada tahun 2010, seekor ayam jantan 'membunuh' pemiliknya tanpa sengaja dengan memotong urat leher di negeri Benggala Barat.