IPOH - Syarat kelayakan bagi pengambilan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq akan dilonggarkan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata, kelonggaran itu melibatkan syarat fizikal dan kelulusan akademik bertujuan memberi peluang lebih ramai orang asli layak menganggotai pasukan berkenaan.
Menurutnya, pada masa kini, keperluan keanggotaan formasi itu terutama di Batalion 3 di Bidor dan Batalion 18, Pengkalan Hulu adalah kurang dan disifatkan dalam keadaan terdesak.
"Sebab itu kami agak desperate untuk mencari calon-calon yang layak untuk sertai kedua-dua batalion ini. Saya faham minat yang ditunjukkan orang asli ini cukup tinggi, namun terdapat beberapa kekangan berhubung kelayakan fizikal dan kelulusan (akademik).
"Perkara ini telah dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kita akan terus berunding dengan JPA untuk melonggarkan syarat tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1 2020 di lapang sasar utama Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Malaysia, Profesor Dr Juli Edo.
Abdul Hamid bagaimanapun menegaskan, kelonggaran kelayakan berkenaan tidak bermakna pasukan akan memperoleh anggota yang kurang kualitinya.
"Seperti yang kita tahu, orang asli ini nimble (lincah) dan agile (tangkas). Apabila di hutan, kita tidaklah begitu perlu seseorang yang bertubuh tinggi dan sasa.
"Yang perlu adalah seseorang yang boleh bergerak cepat, itu yang akan meningkatkan mobiliti pergerakan mereka ketika dalam penugasan di hutan," katanya.
Menurutnya, sasaran awal polis adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100 pelatih menyertai kursus asas konstabel, namun hanya 76 orang yang layak.
Katanya, keadaan itu berlaku antaranya kerana kebanyakan permohonan yang diterima adalah dari kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun Skim Perkhidmatan Polis Senoi Praaq sedia ada hanya mensyaratkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Puas kami mencari rekrut yang mencukupi, namun ia tidak seperti diharapkan. Insya-ALLAH usaha ini akan dipergiatkan lagi.
"Kita akan berunding dengan JPA untuk dapatkan fleksi dari segi kelulusan akademik yang mana mereka boleh memohon menggunakan kedua-dua kelulusan (SPM dan PMR), tetapi dengan skim gaji yang berbeza,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Jabatan Pengurusan sedang merumuskan satu piawaian program agar anggota Senoi Praaq dapat diserap ke jawatan inspektor dan bertugas di Batalion 3 dan 18 PGA.
Katanya, setakat ini hanya terdapat seorang pegawai berpangkat inspekor berkhidmat di batalion berkenaan dan pihaknya dalam usaha membawa masuk empat lagi inspektor orang asli dari formasi luar untuk bertugas di kedua-dua batalion terbabit.
"Mereka sudah dikenal pasti dan akan melalui proses-proses temuduga, apabila cukup sahaja (keperluan), secara trek pantas kita akan naikkan mereka sebagai pegawai.
"Saya ingin melihat kedua-dua batalion ini dikendalikan sepenuhnya oleh orang asli dan selepas itu mereka boleh 'berkembang' berkhidmat dan berpencen di bawah jabatan-jabatan lain," katanya.