MFL terima tajaan RM33.42 juta

Iklan
Menteri Belia dan Sukan,Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),Datuk Hamidin Mohd Amin selepas merasmikan majlis pelancaran Liga Malaysia 2021 pada Isnin. - Foto Bernama
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan telah menerima tajaan berjumlah RM33,428,000 bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jumlah berkenaan secara keseluruhannya melibatkan beberapa perkara seperti hak penyiaran serta tajaan produk.

"Memang tahun lalu kita tak umumkan jumlah penajaan, tetapi bagi tahun ini jumlah keseluruhan tajaan kita berjumlah RM33,428,000.

"Jumlah ini kita percaya akan bertambah pada masa kan datang kerana ada lagi beberapa penaja yang mahu memberikan tajaan masing-masing.

"Selain itu kita berharap agar kebenaran untuk penonton hadir ke stadium akan membantu mendapatkan tajaan lebih baik kepada MFL dan juga rakan kongsi yang lain," katanya pada Isnin.

Sementara itu, Hamidin turut berharap agar saingan Liga-M 2021 tidak lagi terbatal seperti sebelum ini.

Katanya, kesemua aksi melibatkan saingan Liga Super, Liga Premier dapat disempurnakan sehinggalah ke saingan Piala Malaysia dan juga Piala Cabaran (bagi pasukan yang tidak layak beraksi ke Piala Malaysia).

"Kita juga mengharapkan agar Liga-M 2021 lebih kompetitif bagi membantu persiapan skuad Harimau Malaya yang akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 Jun nanti," katanya.