JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menafikan hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang bergolak.
Ia susulan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Amanah iaitu ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Dr Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit bertindak keluar parti pada Sabtu untuk menyertai PKR.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan tiga ADUN berkenaan tidak akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan Johor yang kini dalam rundingan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Tiada pergolakan Amanah dengan PKR. PH Johor kini sedang berunding bagi pengagihan kerusi DUN dan Parlimen. Saya yakin dengan semangat setiakawan dalam PH Johor.
"Tindakan tiga ADUN dari Amanah yang menyertai PKR tidak akan merencatkan usaha PH memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, apatah lagi jika kami diberikan peluang pada PRU15 nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Amanah Johor di Skudai pada Isnin.
Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan Pusat bagi menentukan tindakan yang akan dikenakan kepada ketiga- ketiga ADUN tersebut.
"Amanah Johor menerima alasan yang diberikan ADUN terbabit di mana Khairuddin difahamkan menyatakan alasannya untuk bertanding di Parlimen bagi mana- mana kerusi bersama PKR.
"Saya tidak boleh kata apa-apa sebab itu pilihan mereka, cuma saya akan serahkan kepada Amanah Pusat bagi menentukan tindakan terhadap ADUN berkenaan," katanya.
Pada Ahad, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan tiga ADUN dari Amanah melompat parti dan menyertai PKR boleh menjejaskan hubungan parti dalam PH.
Mujahid meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti permohonan ketiga-tiga ADUN itu bagi menjaga hubungan baik antara parti dalam PH.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Senggarang dari Amanah sah sertai PKR
Amanah belum terima surat tiga ADUN sertai PKR