IPOH - Polis sedang mengesan 23 pekerja asing di kilang pakaian antarabangsa Emerald Garments yang tidak berada di asrama ketika penutupan kilang dibuat berikutan penularan wabak Covid-19.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua pekerja tersebut dipercayai berada di tempat lain semasa kilang tersebut ditutup.
"Mereka berkemungkinan menumpang di rumah sewa rakan-rakan di sekitar Tasek.. Kita sedang berusaha menghubungi mereka melalui rakan-rakan sekerja mereka.
"Kita merayu mana-mana pihak mempunyai maklumat untuk tampil supaya mereka boleh ditempatkan di asrama pekerja di Flat Anjung Tawas Damai, Tasek yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Pusat Kejadian di Flat Anjung Tawas Damai di sini pada Isnin.
Menurutnya, setakat ini terdapat 181 pekerja ditempatkan di asrama tersebut termasuk 17 pekerja yang sebelumnya tinggal menyewa di luar bagi memudahkan pemantauan,
"Sehingga kini seramai 334 orang pekerja warga asing yang disahkan positif Covid-19 dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
"Seramai 43 lagi pekerja yang positif di tempatkan di lain-lain pusat rawatan manakala 21 penduduk tempatan dipindahkan ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan," katanya.
Dalam pada itu, A Asmadi berkata, dua blok flat lima tingkat Anjung Tawas Damai itu dijadikan asrama pekerja kilang tekstil berkenaan yang menempatkan kira-kira 439 penghuni daripada keseluruhan pekerja yang berjumlah 653 orang.
Menurutnya, penugasan anggota polis dan tentera di asrama berkenaan bagi mengawasi penghuni selain menjaga keselamatan premis.
Pada 28 Februari, kawasan asrama pekerja kilang pakaian Imperial Garments tersebut dikenakan PKPD berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 susulan saringan yang dilakukan bermula 23 Februari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPD di asrama pekerja Imperial Garments mulai esok