KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ( PPZ-MAIWP) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat kepada 500,000 orang dengan jumlah bayaran melebihi RM800 juta tahun ini.
Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee berkata, ia selaras dengan penjenamaan semula identiti korporat PPZ-MAIWP yang kali terakhir diperbaharui pada 2008.
Menurutnya, jenama baharu tersebut diharap dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk memilih PPZ-MAIWP dalam menguruskan kutipan zakat.
"Kita yakin lebih 800,000 warga Wilayah Persekutuan mampu menunaikan kewajipan itu tetapi kita tak dekati mereka. Jadi kita kena turun dekati mereka dan berikan kefahaman kepada mereka.
"Insha-ALLAH, tahun ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 pembayar zakat berbanding 300,000 orang tahun lepas. Sementara kutipan zakat adalah RM800 juta ke atas," katanya pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu PPZ-MAIWP yang berlangsung di Wisma PPZ Taman Shamelin Perkasa pada Isnin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.
Katanya, PPZ-MAIWP akan mendekati kalangan ahli korporat dan pemilik syarikat besar bagi sesi penerangan mengenai tanggung jawab berzakat, sekali gus memberi kefahaman tentang potongan zakat sebanyak 2.5 peratus dalam kalangan pekerja Islam.
"Contohnya saya pergi sebuah agensi, yang membayar zakat hanya 1,000 orang sedangkan yang boleh membayar lebih 7,000 orang.
"Jadi tanggung jawab sebagai pemimpin dalam agensi itu adalah perlu memastikan setiap orang Islam membayar zakat, kena buat potongan kerana mereka bergaji tetap, pada saya tiada masalah untuk dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, pelancaran identiti korporat baharu itu selaras dengan pemodenan serta serta semangat untuk menjadikan PPZ-MAIWP sebagai institusi zakat yang maju dan menjadi model contoh di dunia.
"Wajah baharu ini dilengkapi susun atur dalaman bagi menggalakkan keyakinan dan keselesaan pelanggan yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua cawangan pada tahun ini.
"Identiti korporat baharu ini diharapkan mampu menjadikan PPZ-MAIWP cemerlang dan kakitangan terus berusaha untuk memastikan peningkatan pembayar zakat," katanya.