SHAH ALAM - Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menggesa kerajaan supaya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan adil dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, setiap SOP dan dasar yang ditetapkan harus dipatuhi semua pihak tanpa mengira status atau latar belakang.
"Rakyat akan marah bila berlaku dasar atau tindakan kerajaan yang tidak adil.
"Sebelum ini, berlaku inisiden menteri cuma perlu kuarantin selama tiga hari apabila pulang dari luar negara, kini timbalan menteri dibenarkan mengunjungi keluarga ke luar negara.
"Sekiranya SOP hanya ditujukan kepada rakyat, tetapi mereka yang memegang jawatan tinggi dapat dikecualikan, ia akan mengundang kemarahan orang ramai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Menerusi hantaran tersebut, beliau turut memuat naik surat maklum balas permohonan cuti rehat Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar bagi melawat keluarga di Auckland, New Zealand.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran meminta Santhara memberikan penjelasan mengenai laporan sebuah portal dalam talian yang mendakwa beliau berada di New Zealand bersama keluarga sejak Disember lalu.
Jika dakwaan itu benar, Prabakaran mendesak Santhara meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Segamat serta memulangkan gaji dan elaun yang diterima sejak berada di sana.
Bagaimanapun, Santhara menafikan dakwaan tersebut yang kononnya beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai timbalan menteri untuk berulang-alik ke New Zealand sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, beliau ke negara berkenaan sebelum PKP dikuatkuasakan selepas permohonan cuti selama 55 hari bekerja disokong Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Disember.