Penjenayah dari Bangladesh didakwa bersembunyi di Malaysia

Iklan
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama

IPOH - Dakwaan bahawa penjenayah dalam buruan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin tertinggi tentera Bangladesh berada di negara ini dalam perhatian polis, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Bagaimanapun beliau berkata, hingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia agar siasatan dijalankan berhubung dakwaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya yakinkan bahawa perkara tersebut dalam perhatian kami yang tidak akan membenarkan kegiatan mafia dari luar negara untuk bergiat dalam negara ini atau sebarang elemen pengganas bertapak di negara kita.

"Jadi, kita menunggu kalau ada permintaan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur sama ada apa yang didakwa dan dilaporkan itu mempunyai asas,” katanya pada sidang media selepas Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, terdapat kemungkinan laporan berkenaan ada kaitan dengan pilihan raya yang sedang berlangsung di Bangladesh.

"Mungkin laporan itu fokus kepada sesuatu pihak jadi kita tidak mahu terbabit,” katanya.

Iklan

Sebelum ini, sebuah agensi berita antarabangsa dalam laporannya mendakwa abang kepada pemimpin tertinggi tentera Bangladesh yang disabitkan dengan kesalahan membunuh ahli politik di negara itu dipercayai bersembunyi di Malaysia sejak melarikan diri dari Bangladesh pada 2007. - Bernama