ASEAN perlu lebih proaktif bantu pemulihan Myanmar

Iklan
Hishammuddin

KUALA LUMPUR - ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bagi menyumbang ke arah pemulihan Myanmar agar kembali ke situasi normal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, amat penting untuk ASEAN mengetuai perbincangan yang telus dan berunding secara konstruktif dengan Myanmar dan semua pihak berkepentingan bagi menunjukkan ASEAN berkesan sebagai kumpulan serantau yang kohesif dalam usaha memenuhi harapan rakan luarnya, dan mengelakkan tindak balas sepihak yang boleh memberi kesan buruk kepada rantau ini.

Iklan
Iklan

"Penglibatan dua hala amat penting dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan susulan lawatan rasminya ke Brunei Darussalam.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan beberapa pertemuan dengan Menteri Luar II Datuk Seri Setia Awang Erywan Mohd Yusof di Bandar Seri Begawan, pada Isnin.

Iklan

Malaysia katanya, turut prihatin terhadap situasi rampasan kuasa tentera di Myanmar serta perkembangan terkini di negara berkenaan.

Hishammuddin berkata, ia adalah tindakan yang boleh merencatkan segala usaha yang dilakukan dalam dekad terakhir ini demi perubahan demokrasi, perpaduan dan kemajuan ekonomi di negara berkenaan.

Iklan

"Kami menyeru pihak berkuasa Myanmar untuk menegakkan dan menghormati institusi serta proses demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan dan hak asasi manusia, termasuk hak untuk berhimpun secara aman serta kebebasan bersuara.

"Semua pihak yang relevan perlu mengelak daripada menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat serta memburukkan lagi keadaan di negara berkenaan.”

Hishammuddin juga memberi jaminan sokongan Malaysia ke arah mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN tidak rasmi minggu ini bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, beberapa jam sebelum Parlimen bersidang, dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).

Junta juga mengisytiharkan perintah darurat setahun dan berjanji untuk"mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.

Pada 5 Februari, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) secara bersama menyeru ASEAN untuk mengadakan pertemuan khas membincangkan situasi politik di Myanmar, setelah rampasan kuasa tentera.

Kedua-dua pemimpin itu membuat seruan itu setelah mengadakan pertemuan di Jakarta sempena lawatan rasmi Muhyiddin ke Indonesia.

Hishammuddin turut mengucapkan tahniah kepada Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN bagi 2021, serta kejayaan menganjurkan Pemukiman Menteri Luar Negeri ASEAN baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia komited untuk terus bekerjasama erat dengan Brunei dalam merealisasikan matlamat kepimpinannya, memperkasa Pembangunan Komuniti ASEAN dan berusaha untuk pulih bersama daripada Covid-19.

"Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Brunei, terutama dalam inisiatif yang berkaitan dengan multilateralisme, kesihatan mental dan pembangunan belia, serta keamanan dan keselamatan,” katanya. - Bernama