RAMAI ibu bapa meluahkan rasa lega apabila sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan semula mulai Isnin.
Ini kerana ada dalam kalangan ibu bapa bimbang tentang masa depan anak-anak mereka selepas hampir setahun tidak dapat ke sekolah.
Malah ada segelintir pihak merasakan, pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian kurang berkesan.
Mereka bukan sahaja terpaksa berbelanja besar untuk membeli gajet dan data, malah ibu bapa juga berhempas pulas untuk membantu anak-anak mereka belajar di rumah.
Ada segelintir yang dapat membantu untuk menjayakan PdPR namun ada ibu bapa yang tidak mempunyai kemampuan sedemikian dan akhirnya mereka menyerah kalah.
Difahamkan, pelajar daripada kalangan keluarga tidak yang berkemampuan juga berhadapan cabaran yang sangat besar.
Mereka terpaksa menunggu ibu bapa pulang dari kerja untuk memeriksa tugasan yang diberikan menerusi telefon bimbit.
Selain itu, guru-guru juga tidak terkecuali mengalami tekanan dan cabaran untuk melaksanakan PdPR. Mereka juga ada pelbagai kekangan dan rintangan untuk ditempuhi.
Dengan pelbagai kerenah daripada pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian itu cukup sukar untuk mencapai objektif.
Atas sebab itulah, proses pengajaran secara konvensional adalah cara terbaik untuk memastikan para pelajar mendapat kualiti pendidikan yang sempurna.
Kira harus akur bahawa pendidikan bersemuka adalah yang terbaik untuk pelajar-pelajar.
Mengenai isu keselamatan, kita harus memberikan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada semua guru-guru supaya pelajar dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sementara itu, pihak Kementerian Pendidikan juga perlu bersiap sedia untuk memperkukuhkan pelaksanaan PdPR untuk masa depan.
Walaupun vaksin bakal memberi sinar baharu tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh alpa dan leka.