Sudah sampai masa laksana kembiri kimia

Iklan
Sudah sampai masa pesalah sumbang mahram dan rogol kanak-kanak dikenakan hukuman kembiri kimia, di samping hukuman penjara dan sebatan.

MINGGU lalu seorang penjual air tebu telah dihadapkan ke mahkamah dengan 64 pertuduhan sumbang mahram terhadap anak kandungnya dan merogol rakan anaknya, kedua-duanya kini berumur 14 tahun.

Tertuduh dikatakan telah melakukan kesalahan sumbang mahram semenjak anaknya berusia 10 tahun.

Iklan
Iklan

Mengikut statistik Polis Di Raja Malaysia (PDRM), dalam tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2020, bapa kandung menjadi pelaku tertinggi dengan 225 kes.

Manakala 188 kes melibatkan bapa tiri dan 155 kes dicatatkan terhadap abang kandung.

Iklan

Untuk tahun 2020 sahaja, sebanyak 259 kes sumbang mahram telah dilaporkan. Layari sahajalah internet dan bersepah kes-kes sumbang mahram dan rogol kanak-kanak dan lebih malang dan menyayat hati ialah ada juga mangsa kanak-kanak yang melahirkan anak hasil sumbang mahram dan rogol.

Pada masa ini, sumbang mahram dan rogol kanak-kanak adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara serta sebatan. Namun, pesalah berumur 55 tahun ke atas terlepas hukuman sebat.

Iklan

Melihat peningkatan dari tahun ke tahun kes-kes sumbang mahram dan rogol kanak-kanak, sudah sampai masa, di samping hukuman penjara dan sebatan, pesalah sumbang mahram dan rogol kanak-kanak juga dikenakan hukuman kembiri kimia.

Jadi, apa itu kembiri kimia? Secara ringkas kembiri kimia ialah prosedur suntikan ubat antiantrogen untuk menghambat fungsi testosteron mengurangkan libido. Akibatnya akan terjadi penurunan keghairahan seksual, mengurangi kemampuan rangsangan seksual dan secara langsung mengakibatkan kehilangan hasrat seksual.

Banyak negara sudahpun menerapkan kembiri kimia sebagai hukuman, dengan Denmark menjadi negara terawal melaksanakan hukuman kembiri kimia pada tahun 1929.

Di Amerika Syarikat, tidak kurang daripada lapan negeri melaksanakan hukuman kembiri kimia.

Lain-lain negara yang melaksanakan hukuman kembiri kimia ataupun sudah menjadi sebahagian daripada plea bargaining dalam mengurangkan hukuman penjara adalah Korea Selatan, United Kingdom, Argentina, Poland, Israel, Republik Czech dan negara-negara Scandinavia.

Negara jiran Indonesia pada tahun 2016 telah menggubal undang-undang untuk perlaksanaan hukuman kembiri kimia terhadap pesalah rogol dan dilaksanakan kali pertama pada tahun 2019.

Malahan, Indonesia dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga telah menerapkan dalam undang-undang pemakaian gelang kaki peranti pengawasan dan menyediakan pangkalan data identiti pesalah yang mudah diakses.

Betapa jijiknya sumbang mahram dan rogol kanak-kanak pernah menjadi perbincangan hangat di Dewan Rakyat pada tahun 2017 sehingga Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) menggemparkan dewan dengan cadangan pelaku sumbang mahram dicucuk dengan besi panas, manakala Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu mencadangkan hukuman kembiri kimia.

Justeru itu, Malaysia seiring dengan negara-negara lain juga wajar meminda undang-undang untuk melaksanakan hukuman kembiri kimia ke atas pesalah sumbang mahram dan rogol kanak-kanak.

Jenayah sumbang mahram dan rogol kanak-kanak adalah jenayah luar biasa dan di samping hukuman sedia ada sudah sampai masa untuk hukuman kembiri kimia.

*Norman Fernandez ialah seorang pengamal undang-undang