KUALA TERENGGANU - Sawah padi terbentang luas selepas musim menuai di Kampung Tok Dir, di sini dimeriahkan dengan gelagat pelbagai jenis haiwan sehingga menggamit kehadiran pengunjung.
Lokasi peliharaan haiwan persendirian itu kini mendapat jolokan zoo mini kerana dipenuhi pengunjung selepas ia tular di media sosial sejak 22 Februari lalu.
Pemiliknya, Mohd Hilmie Muda, 30 berkata, beliau tidak menyangka lokasi itu kini menjadi perhatian kerana sebelum ini hanya penduduk kampung sahaja yang berkunjung ke situ untuk melihat haiwan peliharaannya.
"Sebelum ini tak ramai yang datang mungkin sebab mereka tidak tahu lokasi ini. Saya tak sangka pula boleh viral (tular) dan ramai yang berminat untuk melihat dan bermain dengan haiwan-haiwan ini.
"Saya gembira dan bersyukur kerana selain dapat mempromosikan Kampung Tok Dir kepada orang luar, mereka juga berpeluang untuk melihat haiwan-haiwan ini secara lebih dekat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada petang Ahad.
Beliau berkata, kawasan itu kini menerima purata 200 pengunjung setiap hari terutama pada waktu petang pada hujung minggu.
Mohd Hilmie berkata, pada mulanya, beliau memelihara tiga ekor lembu sado sebelum mengalihkan minat untuk memelihara pelbagai jenis haiwan lain di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar milik ayahnya yang bersebelahan sawah padi itu sejak tiga tahun lalu.
Katanya, selain lembu sado terdapat juga lembu kampung, rusa, kerbau, kambing, kuda, arnab, landak dan terbaharu burung hiasan daripada pelbagai spesies antaranya electus, cocktail, sun conure dan love bird.
"Penduduk di sini hanya tanam padi setahun sekali disebabkan kebergantungan kepada sumber air hujan.
"Disebabkan sawah padi diusahakan penduduk kampung baharu habis dituai, terdapat banyak kawasan lapang untuk dijadikan lokasi haiwan-haiwan ini bermain pada sebelah petang sementara menunggu padi ditanam semula pada bulan November nanti," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hilmie berkata, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung untuk melihat haiwan peliharaannya.
"Setakat ini saya tidak berniat untuk menjadikan lokasi ini sebagai sumber perniagaan kerana ia hanyalah tempat untuk saya merealisasikan hobi dan minat saya memelihara binatang selama ini.
"Cuma terdapat tiga ekor kuda milik abang saya dikenakan cas sebanyak RM5 bagi mereka yang ingin menaikinya manakala bagi yang ingin melihat burung pula terpulang untuk derma seikhlas hati bagi menampung makanan burung," katanya.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Shafizan Aiman Azli, 23 berkata, lokasi itu pada awalnya dijadikan tempat untuk melatih burung hiasan.
"Biasanya pada sebelah petang kami jadikan lokasi ini sebagai tempat untuk burung hiasan terbang, tak sangka pula ia menarik minat orang ramai untuk datang ke sini melihat burung-burung ini secara dekat.
"Memandangkan keadaan sekarang sukar untuk bergerak jarak jauh disebabkan Covid-19, mereka yang berada di sekitar kampung ini dan mahu bermain sambil bawa anak-anak boleh berkunjung ke sini," katanya.