KBS sedia kemuka permohonan masuk stadium

Iklan
KBS

LIGA Malaysia (Liga-M) musim 2021 dijangka diserikan kembali dengan kehadiran penonton ke stadium apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam usaha mendapatkan kelulusan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan permohonan kehadiran penyokong ke stadium akan dibuat selepas dua bulan Liga-M yang menggunakan model gelembung sukan, berjalan dengan lancar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KBS memerlukan masa untuk memberi gambaran dan keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa keputusan membenarkan penyokong ke stadium tidak menjejaskan gelembung sukan yang dikhususkan kepada pemain serta pegawai pasukan.

"Saya jangkakan dalam sebulan dua untuk bawakan perkara ini kepada MKN untuk dipertimbangkan kerana ia juga bergantung sepenuhnya kepada pengumuman MKN mengenai situasi terkini serta perkembangan semasa pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

Iklan

"Tetapi saya memberi jaminan dalam tempoh sebulan dua, ia akan dibawa ke MKN bagi mendapatkan kelulusan untuk membolehkan sukan bola sepak dihadiri penonton dengan SOP yang ketat,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga-M 2021 di Putrajaya.

Beliau menjelaskan, usaha membenarkan kehadiran penonton ke stadium dengan jumlah yang terbatas antara matlamat utama KBS dalam merancakkan semula industri sukan negara.

Iklan

"Ini juga bergantung sepenuhnya kepada pengumuman terbaharu MKN mengenai PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berakhir minggu ini. Jadi, ini menjadi penentu kepada bila perkara itu akan saya bawa,” jelasnya.

Sementara itu, pemain serta pegawai pasukan Liga-M dan barisan atlet negara yang tidak terlibat ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau menjelaskan dalam konteks sukan, keutamaan kini diberikan kepada 264 atlet dan pegawai dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo yang bakal menerima suntikan vaksin bermula April ini.