SHAH ALAM - Selepas menyepi hampir enam bulan, pasangan suami isteri, M Sugu dan S Pavithra kembali menemui peminat menerusi video masakan terbaharu di YouTube pada minggu lalu.
Masih mengekalkan sikap bersahaja dan bertutur dalam bahasa kebangsaan, Pavithra dilihat gembira menyediakan masakan bersama ahli keluarganya.
Video kali ini memberi kelainan, apabila mereka dilihat berkelah di tepi sungai di mana Sugu dilihat menunjukkan kemahiran menangkap ikan menggunakan jala berbanding sebelum ini mereka hanya berada dalam rumah.
Konsep santai yang ditunjukkan keluarga ini pastinya menarik lebih ramai pengikut baharu di saluran Sugu Pavithra yang kini sudah mencecah 818,000 pelanggan.
Warga maya turut melahirkan rasa gembira melihat video terbaharu pasangan tular ini selain memberi kata-kata positif.
Kata Latiffar Ahmat,"Wah bagusnya, Sugu pandai jala ikan, isterinya pandai masak. Salam dari Singapura".
Ujar Azlan Charles pula,"Suka tengok kelainan video pada kali ini, teruskan menghasilkan vlog yang menarik Sugu dan Pavithra, terbaik!!!
Marissa Hanna sempat memuji perkakas masakan Pavithra dengan mengatakan kuali itu bersih dan berkilat.
Malah, Double SYA dan Manimaran juga teruja selepas melihat video terbaharu mereka dan berharap pasangan ini terus berkongsi masakan yang mudah, namun menyelerakan selain memberi beberapa tips atau petua masakan.
Pasangan dikenali sebagai Sugu Pavithra mula menjadi perhatian apabila video masakan mereka yang dimuat naik di YouTube menjadi tontonan ramai.
Pasangan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila Sugu ditahan polis kerana memukul isterinya pada 21 Julai tahun lalu menyebabkan mereka bertindak memadam semua video masakan sekitar Oktober 2020.