Tiga ditahan edar dadah import dari negara jiran

Iklan
Zainudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di ibu negara, susulan tertangkapnya tiga individu termasuk pasangan suami isteri pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri antara tiga individu yang diberkas terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di ibu negara, pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, serbuan sepasukan anggota JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kuala Lumpur dilakukan bermula jam 2 petang menerusi tiga serbuan berasingan.

Iklan
Iklan

"Serbuan ini berjaya menahan tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun.

"Polis berjaya menemui 38 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan heroin seberat 457 gram yang kesemuanya bernilai RM1.37 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, turut disita adalah tiga buah kenderaan iaitu sebuah Honda Accord serta dua buah Perodua Myvi selain pelbagai barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.48 juta.

Mengulas lanjut, Zainudin mendedahkan, siasatan mendapati dua suspek adalah pasangan suami isteri manakala seorang lagi adalah rakan pasangan terbabit.

Iklan

Katanya, polis percaya kegiatan pengedaran dadah ini didalangi suami kepada wanita terbabit dengan mendapatkan bekalan dari negara jiran. Bekalan dadah itu diseludup masuk dengan menggunakan kenderaan lori atau kereta sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

"Suspek kemudian akan membuat pembungkusan semula dadah terbabit di apartment mereka sebelum dijual dalam kalangan pengedar kecil-kecilan," katanya.

Tambahnya, polis percaya kumpulan ini adalah serpihan daripada ahli sindiket yang berjaya ditumpaskan di Pulau Pinang pada November tahun lalu.

"Siasatan masih dijalankan untuk memburu saki-baki lagi ahli sindiket," katanya.

Tegasnya, ketiga-tiga suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.