JOHOR BAHRU - Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kesal dengan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkenaan pelantikan jawatan ketua kampung baharu di negeri ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu mendakwa, lantikan itu dibuat sebelah pihak dan tidak mencerminkan semangat kerjasama serta muafakat antara parti yang membentuk kerajaan negeri hari ini.
Menurutnya, perundingan sepatutnya dilakukan terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum pelantikan dibuat.
"Saya sudah sudah menghantar surat rasmi ke Pejabat Menteri Besar Johor meminta penjelasan berhubung perkara itu.
"Saya mendapat tahu pelantikan ini telah dibuat Khamis lalu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Sempena Ulang Tahun Pertama PN Johor di Pejabat Kesihatan Negeri Johor di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon.
Sahruddin mengulas dakwaan lebih 90 peratus lantikan ketua kampung baharu di negeri itu melibatkan ahli UMNO.
Isu pelantikan ketua kampung di Johor kecoh selepas surat pelantikan yang tular dalam laman sosial didakwa oleh sesetengah pihak sebagai tidak adil dan hanya berpihak kepada satu parti.
Antara surat pelantikan menggunakan kepala surat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Khidmat Pengurusan yang banyak ditularkan ialah dari daerah Kulai, Kluang, Tangkak dan Kota Tinggi.
Sementara itu, Sahruddin berkata, Pengerusi PN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan menulis surat kepada Hasni berhubung perkara tersebut.
"Perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku. Pengagihan jawatan ketua kampung seharusnya dibuat dengan adil selain semua pihak perlu berpuas hati dengan pelantikan tersebut," katanya.