HULU LANGAT -"Saya mohon jika benci kami sekali pun, jangan zalimi mereka yang kelaparan, mereka tidak bersalah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof.
Beliau berkata demikian mengulas insiden kira-kira 1,000 ekor ikan keli diternaknya yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk terputus bekalan makanan di kawasan itu mati dipercayai diracun pada Isnin.
Edry berkata, beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi (Isnin) sebelum ke lokasi kolam ternakan yang terletak di 'food bank' Medan Selera Pinggiran Delima di sini.
Menurutnya, ikan keli berkenaan diternak untuk penduduk memerlukan di DUN Dusun Tua sejak beberapa bulan lalu.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Kini 1,000 ekor ikan keli, kesemuanya mati kerana racun. Ikan-ikan keli yang kami bela di ‘food bank’ N23, mati diracun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ikan-ikan keli ini semua untuk masyarakat, mereka yang putus bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, ikan keli berkenaan adalah ‘batch’ kedua yang diternak selepas 300 ekor ikan pada ‘batch’ pertama diagihkan kepada penduduk memerlukan.
Beliau berkata, ketika ‘batch’ pertama pernah berlaku insiden kecurian ikan yang dibeli hasil sumbangan peribadi dirinya dengan beberapa individu lain.
Katanya, beliau menghalalkan ikan yang diambil, namun terkilan dan sedih apabila mendapati kesemua ikan yang diternak untuk ‘batch’ kedua semuanya mati terapung dipercayai akibat diracun.
Edry berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau bukan sahaja mempunyai bekalan makanan kering namun turut menanam sayur-sayuran untuk mereka yang memerlukan.
Susulan kejadian itu, beliau memohon pihak tidak bertanggungjawab diberi hidayah oleh ALLAH SWT dan akan memperketatkan kawalan keselamatan di ‘food bank’ yang menjadi tempat simpanan barang makanan.
"Saya tak nak tuduh sesiapa tapi jadilah hamba ALLAH yang bersaudara satu dengan yang lain, kerana seorang Muslim itu saudara bagi mualim yang lain, tidak diperkenankan menzalimi, menipu, atau melecehkannya.
"Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar dengan musibah yang menimpa ini. Semoga ALLAH SWT gantikan dengan yang lebih baik. Amin ya Rabbal alamin,” katanya.