JOHOR BAHRU - Seorang lelaki bergelar 'Datuk Seri' bersama rakannya ditahan kerana mengugut pegawai polis berpangkat Inspektor pada Khamis lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 'Datuk Seri' yang merupakan peniaga besi buruk berusia 56 tahun dan rakannya berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 8.30 malam di sekitar Masai susulan laporan polis daripada seorang mangsa yang diugut kedua-dua suspek berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah melakukan pemerasan meminta mangsa yang berusia lingkungan 50-an membayar sejumlah hutang dengan kekerasan di kawasan Seri Alam pada 22 Februari lalu.
"Berikutan aduan yang diterima daripada mangsa, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan membuat tangkapan terhadap dua suspek berkenaan tiga hari kemudian.
"Ketika ditahan, 'Datuk Seri' itu bagaimanapun telah mengugut Inspektor yang menahannya dengan menyatakan 'Tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan'," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.
Menurut Ayob Khan, siasatan mendapati gelaran 'Datuk Seri' yang digunakan lelaki itu adalah dari Sulu yang tidak diiktiraf di negara ini.
"Mungkin dengan memakai gelaran Datuk Seri, lelaki itu beranggapan dia boleh melakukan jenayah seperti memeras ugut. Suspek juga mempunyai 23 rekod jenayah lampau yang kebanyakannya jenayah kekerasan.
"Malah, lelaki itu telah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak sekitar tahun 80-an serta 90-an," katanya.
Susulan tangkapan 'Datuk Seri' itu juga, Ayob Khan berkata, beliau dihubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba memberi input positif mengenai lelaki berkenaan.
"Saya ingatkan kepada NGO ini, jangan terlalu teruja dengan individu yang mempunyai pangkat seperti Datuk Seri atau Tan Sri, lebih-lebih lagi jika mereka ini menyalurkan derma.
"Jangan beranggapan mereka yang memberikan derma sebagai individu yang baik dan tidak terlibat dalam jenayah. Ini bukan Robin Hood. Polis akan jalankan siasatan secara telus tanpa ada tolak-ansur," katanya.
Ditanya sama ada 'Datuk Seri' itu terlibat dengan mana-mana parti politik, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.