KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob mengetuai suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini pada Selasa.
Seramai 48 individu yang terdiri daripada Exco-exco kerajaan negeri dan 27 pasukan barisan hadapan disuntik pada Selasa sebagai simbolik kepada bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat negeri ini.
Selain Ahmad, antara individu menjadi penerima awal vaksin adalah Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin; Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.
Ahmad yang menerima suntikan tersebut pada jam 11.15 pagi turut berpesan kepada seluruh rakyat supaya mengambil peluang memvaksinasikan diri, selain memberitahu apa yang dilakukan tersebut adalah demi tanggungjawabnya kepada rakyat dan negara.
Walaupun sedikit gemuruh, namun katanya, ia hanyalah perasaan biasa sahaja sama seperti suntikan lain yang perlu dilakukan apabila keluar negara.
"Ambo (saya) buat demi rakyat, maka kita semua kena buatlah, rakyat pun kena buat juga," katanya semasa menerima suntikan tersebut di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, di sini.
Seramai 1,418 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Kota Darul Naim sehingga Khamis ini terutamanya melibatkan pasukan barisan hadapan.
Kelantan akan menerima lebih 42,000 vaksin dos untuk fasa pertama yang dijalankan secara berperingkat.