KUALA SELANGOR - Polis mengeluarkan 43 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal di Pantai Remis Jeram di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi pada jam 5 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Menurutnya, antara kesalahan dilakukan penunggang motosikal adalah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada cukai jalan kenderaan dan tidak mengikut spesifikasi kenderaan.
"Operasi ini dijalankan untuk mengekang kegiatan mat rempit dalam kalangan anak-anak muda," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ramli berkata, dalam operasi yang turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu, pihaknya turut menahan 12 penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 25 tahun yang dikenal pasti mengubah suai ekzos hingga menyebabkan bunyi bising.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian paras bunyi terhadap ekzos yang telah diubah suai pada Isnin.
"Polis juga mengeluarkan 12 saman di bawah Kaedah 103 iaitu di bawah Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1958 (L/N 170/1959) atas kesalahan Ubah Suai Ekzos dan di bawah Seksyen 48A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana gagal mematuhi had bunyi yang dibenarkan.
"Selain itu, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 32 notis arahan periksa," katanya.