Bilik tidur jadi tempat memasak

Iklan
Arul Kumar melihat kuali dan periuk nasi yang diletakkan di bawah katil di sebuah penginapan pekerja warga asing di sini pada Selasa.

SEREMBAN - Majoriti pekerja warga asing dilihat menjadikan tempat tidur mereka sebagai ruang untuk memasak.

Perkara tersebut terdedah hasil satu pemeriksaan yang dilakukan penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sebuah penginapan rumah kedai di Pusat Bandar Senawang di sini pada Selasa.

Pemerhatian Sinar Harian di lokasi penginapan itu mendapati di setiap penjuru katil yang menempatkan lapan penghuni berkenaan mempunyai periuk nasi, perkakasan memasak dan dapur di bawah katil mereka.

Iklan
Iklan

Malah, keadaan bilik mereka juga dilihat berselerak sementara dapur pula menjijikan selain baunya kurang menyenangkan.

Lebih membimbangkan apabila pelitup muka yang telah digunakan tidak dibuang, sebaliknya digantung di hujung katil mereka.

Exco Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, pemandangan sebegitu biasa dilihat dikebanyakan penginapan warga asing dengan kesalahan paling utama melibatkan kapasiti penghuni yang ditempatkan dalam satu bilik melebihi daripada sepatutnya.

Iklan

"Isu paling utama ialah kebersihan. Ada yang tempatkan seramai 18 penghuni dengan hanya disediakan dua buah tandas. Sepatutnya enam orang satu tandas.

"Kita tengok juga tilam yang disediakan hahya mempunyai ketebalan dua inci dan tiada katil," katanya pada sidang akhbar selepas menyertai operasi di tiga buah penginapan pekerja warga asing di Pusat Bandar Senawang pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JTK Negeri Sembilan S Tharu Marajan.

Selain itu katanya, dalam tempoh Januari dan Februari tahun ini, sebanyak 1,180 unit tempat penginapan pekerja warga asing telah diperiksa melibatkan seramai 367 majikan.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 67 majikan telah memohon perakuan penginapan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan,Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan sebanyak 348 penginapan melibatkan 4,541 pekerja telah mendapat perakuan.

"Secara keseluruhan, daripada 52,000 pekerja warga asing di negeri ini, kira-kira 10,000 atau 20 peratus sahaja yang tinggal di lokasi mengikut Akta 446.

"Kita berharap semua majikan dapat bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang sepatutnya kepada pekerja asing dan layan mereka sebagai manusia," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 25 kertas siasatan dibuka melibatkan 12 majikan dan tujuh daripadanya bakal didakwa di mahkamah.