KETAWA, tertawa atau tergelak menggambarkan satu ekspresi yang boleh dilakukan oleh semua manusia. Definisi ketawa menurut Dewan Bahasa dan Pustaka adalah penyataan perasaan gembira dan ditunjukkan melalui perlakuan ketawa. Bagi individu yang normal ketawa dikatakan satu terapi atau penawar. Beberapa penyelidikan seluruh dunia telah dijalankan bagi membuktikan bahawa ketawa merupakan terapi yang mujarab dan berkesan terhadap masyarakat.
Dr Madan Kataria melalui artikel beliau bertajuk"Laughter is the Best Medicine” menyatakan ketawa membawa banyak manfaat antaranya kecerdasan minda dan tubuh badan. Sebagai pengasas terapi ketawa, beliau telah memberikan idea untuk mengadakan Hari Ketawa Sedunia yang berlangsung pada hari Ahad pertama dalam bulan Mei setiap tahun. Fakta saintifik menunjukkan tubuh badan manusia tidak dapat membezakan ketawa sebenar dan ketawa tiruan (dibuat-buat tanpa rasa gembira), maka apabila terapi dilakukan tubuh dan minda manusia akan memperoleh kesan ketawa sebenar.
Iklan
Iklan
Satu Institut Kajian Kesihatan Nasional menunjukkan bahawa ketawa boleh merangsang otak untuk mengatasi gejala depresi di mana kini gejala ini dipandang serius kerana jika tidak dibendung ia boleh mengancam nyawa pesakit. Fakta kajian menyatakan melalui ketawa, hormon stres akan dapat dikurangkan dan sistem ketahanan badan ditingkatkan. Fenomena ini secara tidak langsung dapat membantu melawan penyakit serta meningkatkan hormon Endorphine yang berfungsi memberikan rasa tenang, gembira dan bahagia.
Prof Lee Berk bersama penyelidiknya dari sebuah universiti di California, Amerika Syarikat berusaha selama lebih kurang tiga dekad merungkai bagaimana mood seseorang memberi impak kepada sistem imun dan kaitan dengan penyakit. Dalam kajian beliau menyimpulkan bahawa ketawa mempunyai peranan besar dalam menangkis virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung. Selain itu, ketawa boleh menyebabkan individu lebih tenang dan kurang agresif.
Menurut penyelidikan, individu yang suka menonton rancangan bergenre lucu mempunyai sifat yang kurang agresif berbanding individu yang tidak gemar menonton rancangan berkenaan. Melalui ketawa juga dapat meningkatkan kemahiran bersosial, buktinya adalah individu yang riang dan mudah ketawa lebih senang didekati berbanding individu yang serius. Satu bentuk perhubungan akan menjadi lebih rapat sekiranya sering ketawa.
Di Malaysia, terapi ketawa mungkin masih baharu dan belum diaplikasikan sepenuhnya. Namun begitu konklusinya, ketawa merupakan satu aktiviti yang mudah dan bermanfaat memberikan kesan positif kepada masyarakat. Setiap individu mempunyai hak untuk hidup gembira dan bahagia. Hujah dan pendapat ini dapat disokong dengan kajian terperinci yang telah dilaksanakan oleh para penyelidik.
* Penulis ialah Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang