BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang pembantu rumah warga Kemboja yang dipercayai didera di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di sini.
Penahanan wanita berusia 35 tahun dan pasangannya berusia 36 tahun itu dibuat selepas polis menahan ibu bapa kepada wanita berkenaan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, selepas siasatan dijalankan ke atas suami isteri berusia 60an dan 50an itu, polis mendapati mangsa turut didera oleh anak perempuan pasangan tersebut.
"Pasangan suami isteri tersebut ditahan di rumah mereka di Taman Seri Bukit Indah pada Ahad bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati, urusan pengambilan mangsa sebagai pembantu rumah dilakukan oleh suspek wanita tersebut melalui ejen agensi pekerjaan untuk bekerja di rumah ibu bapanya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambahnya, mangsa didapati turut diarah untuk bekerja di kediaman suspek wanita yang juga seorang pengarah sebuah syarikat swasta.
"Daripada keterangan mangsa, dia didera oleh suspek wanita dengan disimbah air panas dan dipukul dengan benda tumpul sehingga seluruh tubuhnya lebam.
"Mangsa juga mendakwa dia tidak dibayar gaji semenjak bekerja dengan kedua-dua pasangan suami isteri itu sejak dua tahun lalu. Suspek memberi alasan kononnya gaji mangsa disimpan dan akan dibayar ketika mangsa mahu pulang ke Kemboja," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) telah dihantar ke rumah perlindungan sementara siasatan kes dijalankan.
"Pasangan suami isteri yang ditahan pada 24 Februari lalu masih direman manakala anak perempuan mereka dan suaminya juga direman enam hari bagi membantu siasatan.
"Siasatan terperinci masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan 44 Atipsom 2007," katanya.
Minggu lalu, sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki mendera pembantu rumah mereka dengan memukul serta menyimbah air panas di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, di sini.
Kedua-dua suami isteri berusia 60an dan 50an itu ditahan pada jam 9.20 malam Rabu lalu selepas polis menerima aduan orang awam mengenai kes tersebut.
Ketika serbuan ke rumah tersebut, polis berjaya menyelamat seorang wanita warga Kemboja yang ditemui di atas lantai di sebuah bilik dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Pemeriksaan fizikal mangsa mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan beberapa kesan calar di badan serta kaki.
Mangsa berusia 30an itu mengadu telah didera oleh isteri majikannya dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit dan sebagainya.
ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri ditahan disyaki dera amah