KPN harap 50 peratus anggota disuntik vaksin fasa pertama

Iklan
Abdul Hamid menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, pada Selasa. -Foto: PDRM

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berharap 50 peratus anggotanya akan meneriman suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama.

Menurutnya, setakat ini seramai 27,000 pegawai dan anggota dari lima negeri telah disenaraikan dalam fasa pertama bagi menerima suntikan imunisasi Covid-19 dan masih menunggu senarai daripada sembilan negeri lagi.

Iklan
Iklan

"Saya baharu sahaja menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini (Selasa). Alhamdulillah prosesnya mudah, senang dan suntikan tidak menimbulkan rasa sakit pada badan.

"Saya perlu tunjukkan satu contoh kepada anak buah saya dan saya dengar ada kumpulan yang masih ragu-ragu. Jadi, proses yang saya terima menunjukkan bahawa saya sebagai ketua dalam pasukan (Polis Diraja Malaysia), tiada apa yang patut diragukan," katanya pada Selasa.

Iklan

Abdul Hamid menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, pada Selasa.

Turut menerima suntikan itu adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Hamid turut mengingatkan agar maklumat berkenaan vaksin yang diperolehi daripada sumber tidak sahih hendaklah dihentikan segera.

"Dapatkan nasihat dan pandangan dari pakar dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM juga menjalankan proses suntikan dengan begitu profsional dan mudah," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mengesahkan setakat ini tiada laporan diterima pihaknya berhubung isu hasutan berkaitan vaksin.

"Maknanya orang yang dahulunya ghairah beri pandangan negatif dan hasut mungkn sudah berfikir dua kali. Sekiranya ada laporan, tindakan akan ambil di bawah Akta Hasutan 1948," katanya.