Proses saman RM10 juta PKR ikut prosedur

Iklan
Lee Chean Chung

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan proses tuntutan saman RM10 juta terhadap ahli-ahli Parlimen PKR yang mengkhianati mandat rakyat mengikut produser mahkamah.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin telah menfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu dengan alasan bahawa tuntutan itu bertentangan dengan undang-undang.

Iklan
Iklan

"Permohonan itu difailkan Zuraida pada 29 Januari lalu dan pihak PKR membantah bahawa permohonan ini (batalkan saman) adalah tidak berasas dan tanpa merit.

"Justeru, kedua-kedua pihak sedang dalam proses membalas afidavit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada 28 September lalu, PKR memfailkan saman RM10 juta di Mahkamah Kuala Lumpur terhadap Ahli Parlimen Ampang itu berikutan tindakannya melompat parti.

Parti itu menfailkan tuntutan itu selepas Zuraida tidak memberikan sebarang jawapan selepas surat tuntutan dikirimkan kepadanya pada 7 Ogos tahun lalu.

Iklan

Zuraida bersama 11 anggota Parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari tahun lalu untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Semua anggota Parlimen PKR telah menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum 2018 dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.

Beliau menjelaskan, mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 1 April depan untuk mendapatkan arahan seterusnya berkenaan dengan kes terbabit.

Selain itu, Chean Chung berkata, pihaknya telah menghantar surat tuntutan RM10 juta kepada Ahli Parlimen Terbau, Steven Choong.

"Jadi, beliau perlu menjelaskan pampasan tersebut dalam tempoh tujuh hari, dan jika tidak, tindakan mahkamah akan diambil," katanya.