SETAHUN kita hidup bersama Covid-19 yang mengubah kehidupan seharian, akhirnya kehadiran vaksin membawa sinar baharu untuk kita melawan pandemik berkenaan.
Namun, di sebalik kehadiran vaksin Covid-19 Pfizer BioNTech dan Sinovac yang dianggap peristiwa bersejarah negara, golongan antivaksin juga galak di media sosial.
Pelbagai dakyah disebarkan untuk menolak vaksin berkenaan.
Lebih parah, ada yang menghasut orang lain supaya menolaknya. Jaga-jaga, anda sebenarnya sedang dipantau pihak berkuasa.
Pemantauan itu termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan media sosial bagi menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia sudah mengenal pasti kempen menolak vaksin sebagai ancaman kesihatan global kerana tindakan itu faktor utama kemunculan semula penyakit berjangkit.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa mencari sumber yang tepat dan memeriksa fakta yang betul mengenai vaksin Covid-19.
Kita ada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebagai rujukan.
Berdasarkan statistik, sebanyak 138 juta dos vaksin telah diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia tanpa sebarang laporan kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin berkenaan.
Justeru, golongan antivaksin tidak wajar merisikokan kesihatan masyarakat dengan menafikan suntikan vaksin Covid-19. Ia bukan hanya bertujuan melindungi anda tetapi juga melindungi semua orang.
Jalan pintas
Menerusi PICK, seramai 26.5 juta rakyat Malaysia akan menerima vaksin tersebut secara percuma.
Terdapat tiga fasa dalam program berkenaan. Ia dimulakan dengan petugas barisan hadapan, terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.
Fasa kedua pula melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi iaitu warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas atau mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya (OKU).
Bagi fasa ketiga, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Malangnya, isu potong barisan untuk mendapatkan suntikan awal sama seperti petugas barisan hadapan terus berlegar di laman sosial.
Justeru, siapakah yang sanggup menganiaya pihak yang sepatutnya menerima suntikan pada fasa awal berkenaan semata-mata demi kepentingan sendiri?
Pada Isnin lalu, kerajaan mengumumkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelak isu potong barisan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, garis panduan itu akan menyatakan secara jelas siapa yang layak dan siapa yang belum layak untuk menerima vaksin dalam fasa pertama.
Malah, kerajaan juga mempertimbangkan tindakan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melangkau giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berlakunya kejadian potong barisan dalam proses pemberian vaksin yang bermula sejak 24 Februari lalu.
Katanya, kesalahan itu boleh dianggap sebagai satu penyelewengan dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.
Sebenarnya, jika ada individu yang menggunakan pihak berpengaruh untuk mendapatkan jalan pintas menerima suntikan vaksin, perbuatan tersebut dikira rasuah.
Masyarakat juga jangan takut untuk membuat laporan jika mengetahui berlaku aktiviti potong barisan. Namun, harus diingat laporan biarlah berfakta dan disertakan buktinya sekali.
Penulis berharap isu antivaksin dan potong barisan dapat diselesaikan segera kerana kedua-duanya merupakan perbuatan mensabotaj program imunisasi negara.
* Wan Nor Rosida Wan Hamad ialah Web Editor Sinar Harian