GEORGETOWN - Punca kenaikan mendadak harga makanan ruminan seperti lembu dan kambing dipercayai disebabkan meningkatnya harga bahan mentah utama iaitu habuk kelapa sawit.
Habuk tersebut diperoleh dari dalam tempurung biji kelapa sawit yang dikenali sebagai ‘kernel shell’ yang dihancurkan untuk dijadikan dalam bentuk serbuk halus.
Penghasilan bahan tersebut dikatakan memerlukan modal yang tinggi sebelum ia dijual kepada penternak dengan harga yang mahal.
Pemilik kilang PSJ Feed Sdn Bhd, Lim Chin Kok berkata, pihaknya selaku pengeluar makanan haiwan berada dalam keadaan tersepit sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu susulan harga bahan mentah sering naik.
Menurutnya, keadaan itu semakin parah sejak hujung tahun lalu apabila harga serbuk kelapa sawit yang merupakan 70 peratus bahan utama dalam pembuatan makanan haiwan naik mendadak.
Beliau mengakui, harga serbuk kelapa sawit yang naik melebihi 50 peratus itu menyebabkan pihak pengeluar terpaksa menaikkan harga makanan haiwan agar tidak mengalami kerugian.
"Harga bahan (untuk proses makanan haiwan) amat tinggi. Serba salah saya untuk jual. Nak jual mahal, kesian kepada penternak. Mereka pun mengalami masalah sama, perniagaan merudum sejak PKP.
"Bagaimana kita hendak jual murah jika bahan untuk proses makanan haiwan tinggi? Habuk kelapa sawit dahulu RM450 setiap tan, sekarang RM720. Harganya pula bukan tetap, ia bergantung kepada pengeluar.
"Sime Darby jual RM760 hingga RM800 setiap tan, manakala FGV pula RM720,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelas lelaki berusia 51 tahun itu, lebih mengecewakan, pihaknya turut berdepan dengan situasi dikawal kuantiti pembelian bahan mentah berikutan syarikat pengeluar lebih mementingkan permintaan dari luar negara.
"Kita hanya dibenarkan membeli 200 tan sahaja dalam satu masa kerana mereka lebih pentingkan pembeli luar negara."Sejumlah 200 tan, dalam dua tiga hari sudah habis digunakan kerana 70 peratus daripada bahan adalah habuk kelapa sawit, manakala selebihnya akan dicampur dengan padi, soya, air gula merah dan gandum.
"Harga pula, pengeluar mengikut pasaran luar negara. Perkara tersebut menyebabkan kita sebagai pengeluar makanan haiwan menghadapi masalah. Beli dengan harga yang mahal, jual pun kena mahal juga. Tak boleh buat apa,” katanya.Permintaan negara musim sejuk
Chin Kok berkata, pada masa ini, permintaan luar negara amat tinggi berikutan cuaca sejuk yang dijangka sehingga Julai ini.
"Banyak negara luar beli bahan mentah dari Malaysia antaranya New Zealand; Australia, China dan Pakistan. Sebab itu, harga bahan mentah tinggi.
"Bagaimanapun, saya menjangkakan harga kembali stabil sekitar bulan Julai dan Ogos kerana New Zealand dan Australia sudah masuk musim panas. Apabila musim panas, rumput di sana mula tumbuh, maka mereka akan kurang beli makanan haiwan dari sini,” katanya.
Jelas Chin Kok lagi, selain habuk kelapa sawit, bahan-bahan lain iaitu gandum; jagung, kacang soya dan kulit kacang soya juga naik mendadak.
"Dahulu, gandum berharga RM700 (setiap tan), kini naik menjadi RM900, sama juga dengan jagung daripada RM780 menjadi RM1,300. Kacang soya pula daripada RM2,000 naik menjadi RM2,500, manakala kulit kacang soya, dari RM800 naik menjadi RM1,000.
"Saya menjalankan perniagaan ini sejak 20 tahun lalu, tahun lalu dengan tahun ini, paling teruk. Kenaikan bahan mentah ini menyebabkan saya telah menaikkan RM2 untuk setiap beg sebanyak empat kali, yang mana jumlah keseluruhan adalah RM8,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berusaha membantu penternak dengan mengolah ‘resipi’ iaitu dengan mengurangkan kuantiti serbuk kelapa sawit dan diganti dengan bahan lain yang lebih murah.
"Kita terpaksa ambil tindakan mengolah bahan untuk membantu penternak namun tidak boleh selalu kerana makanan seperti itu, zat tidak terlalu tinggi.
"Sekarang musim kemarau, rumput banyak kering. Jika tidak, boleh selang-selikan antara makanan dengan rumput.
Chin Kok berkata, pihaknya berharap agar keadaan ekonomi kembali stabil selepas negara mula menjalankan suntikan vaksin Covid-19.
"Selepas ini, saya harap ekonomi negara kembali stabil, sektor pelancongan dibuka semula dan hotel-hotel beroperasi seperti biasa. Kami peniaga perlu berhadapan dengan cabaran ini sejak tahun lalu dan cuba bertahan sehingga sekarang,” katanya.
Bahan mentah selain serbuk kelapa sawit (terkini)
Jenis dan Harga (per tan)
Soya - RM2,500
Jagung - RM1,300
Kulit kacang soya - RM1,000
Gandum - RM900
NILAI SERBUK KELAPA SAWIT
Harga naik sehingga 70% (bermula Disember 2020)
Serbuk kelapa sawit (RM450 satu tan cecah RM720 satu tan kini)
Pembekal [Harga (per tan)]
Sime Darby - RM760
FGV - RM720
* Maklumat daripada pengeluar harga makanan ruminan kepada Sinar Harian