Bukan sebab gaji rendah tapi ada peluang

Iklan
Gambar kecil: Mohd Rafee

SHAH ALAM - Gejala rasuah yang berlaku kini bukan disebabkan masalah kurang pendapatan, sebaliknya adalah kerana seseorang itu melihat ruang dan peluang untuk mendapatkan ganjaran lebih tinggi.

Pemangku Presiden Yayasan Antirasuah Malaysia, Mohd Rafee Md Aris berkata, jenayah rasuah pada masa ini telah dirancang, ada pakatan dan perbincangan bagi kepentingan serta mengaut keuntungan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mereka yang ditangkap kerana terbabit rasuah dalam jumlah yang besar bukan disebabkan masalah kurang pendapatan atau terdesak.

"Kebanyakan penguat kuasa yang ditangkap akibat rasuah adalah disebabkan dia mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih.

Iklan

"Kebanyakan mereka melakukan perbuatan rasuah dengan orang ketiga atau pihak luar.

"Jika kita lihat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang berkaitan penjualan kad pengenalan kepada warga asing, orang yang berada di dalam jabatan sendiri yang boleh memanipulasi dokumen dan menjual dokumen tersebut.

Iklan

"Perkara ini mesti melibatkan permintaan daripada orang ketiga. Dengan kebijaksanaan mereka merancang bersama, dokumen tersebut dapat diluluskan secara tepat tanpa disedari,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada 12 September 2019, seorang Penolong Pengarah Jabatan JPN Pulau Pinang antara enam individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown.

Ia selepas tertuduh didakwa atas 32 pertuduhan terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah kepada warga asing.

Sementara itu, Rafee memberi cadangan bagi membanteras gejala tersebut iaitu antaranya memberikan gelaran ‘Wira Hang Tuah’ kepada pelapor, memulakan pendidikan kesalahan rasuah di sekolah rendah dan mempertingkat kempen kesedaran.

Beliau turut menyokong kempen Sinar Rasuah Busters yang disifatkan sebagai satu platform kukuh bagi memberikan maklumat kepada khalayak ramai.

"Apa yang Sinar Harian buat adalah satu perkara yang baik kerana akhbar ini mempunyai platform yang sangat kukuh dengan mempunyai satu audiens yang besar.

"Sinar Harian telah melakukan satu perkara yang berpandukan agama iaitu nasihat terlebih dahulu dan memberi tunjuk ajar serta kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa buruknya rasuah,” ujarnya.

Akuinya, perkara sebegini perlu diteruskan dalam jangka masa panjang kerana rasuah merupakan satu perbuatan yang sudah wujud sejak dahulu sehingga kini.

Beliau turut mengharapkan agar kempen tersebut dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya gejala rasuah dapat dibanteras dan tiada pihak yang mengambil kesempatan.